MARANG- Pembinaan Rumah Sembelihan Halal di Wakaf Tapai, di sini yang membabitkan kos RM500,000 dijangka siap pada Mac tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata rumah sembelihan berkenaan dianggarkan mampu menampung proses sembelihan 15 ekor lembu, 25 kambing dan 300 arnab dalam masa sehari.
Katanya, kewujudan infrastruktur itu bakal melengkapkan sasaran 1 Rumah Sembelihan 1 Daerah.
“Diharapkan dengan adanya rumah itu, proses sembelihan haiwan ternakan yang sebelum ini dilakukan di rumah akan dapat dijalankan dengan lebih teratur terutama aspek kebersihan.
“Ini kerana rumah sembelihan yang dikelola Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Akan ada pemantauan oleh pegawai veterinar berkaitan pelbagai aspek, termasuk keselamatan dan kesihatan walaupun mengunakan perkhimatan juru sembelih luar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah bagi Rumah Sembelihan Baharu Verterinar, di sini, hari ini.
Menurut Dr Azman, rumah sembilahan itu bukan saja menyakinkan orang ramai untuk menikmati daging segar malah memudahkan urusan peniaga dan pemborong daging.
“Ini akan memudahkan peniaga memasarkan daging lembu atau kambing ke mana-mana saluran sama ada restoran, peniagaan dalam talian dan pasar raya.
“Kerajaan masih membenarkan aktiviti sembelihan dilakukan dirumah sebaik rumah sembelihan itu beroperasi kelak, bagaimanapun invidu atau pemilik haiwan ternakan perlu mendapatkan permit sembelihan,” katanya.
Sumber: TRDI News