Tumpat: Sejak lima tahun lalu mereka menghuni rumah yang sangat daif dengan sebahagiannya hampir menyembah bumi.
Rumah yang didiami Siti Meriam Muhamad@Ahmad, 30, dan suaminya, Mohd Khairi Mohd Mohamadiah, 33, bersama empat anak yang berusia sembilan bulan hingga 12 tahun di Kampung Geting, Pengkalan Kubor disewa dengan kadar RM50.
Siti Meriam berkata, bukan tidak mahu berpindah ke rumah sewa lain tapi kekangan kewangan yang dialami menyebabkan mereka terus mendiami rumah yang sering basah setiap kali hujan dan banyak lantai sudah reput.
“Pemilik rumah bukan tidak mahu membaiki tapi memandangkan rumah dan tanah adalah milik individu berlainan, ia tidak dapat dibuat dan lagipun jika ia dibaik pulih, sudah pasti kadar sewa turut naik.
‘Untuk kami mencari rumah sewa lain pula rasanya agak mustahil kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah yang rata-ratanya RM200 ke atas.
“Suami hanya bekerja kampung dan dengan keadaan kerja yang susah sekarang, suami melakukan pelbagai pekerjaan, malah dalam sehari antara dua hingga tiga kerja dilakukannya semata-mata untuk menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.
Siti Meriam berkata, suaminya pernah bekerja sebagai tukang rumah tapi kini kerja itu semakin tiada menyebabkan dia beralih kepada mengambil upah mengangkut buah dengan bayaran sebanyak RM50 untuk satu lori sejak dua bulan lalu.
Namun, suaminya diberhentikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak awal Jun lalu, atas alasan untuk pengurangan pekerja.
Katanya lagi, walau kehilangan kerja, suaminya tidak berpeluk tubuh sebaliknya melakukan pelbagai kerja lain termasuk mengambil upah memanjat pokok kelapa, membersihkan halaman rumah orang dan menawarkan khidmat mengangkat barang menggunakan motosikal roda tiga.
“Walaupun melakukan pelbagai kerja, tapi upah yang diperoleh hanya cukup untuk makan kami berenam sahaja tanpa dapat disimpan kerana semua pekerjaan itu bukan setiap hari dilakukan, sebaliknya bergantung kepada permintaan,” katanya.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan zakat serta barang dapur.
Siti Meriam berkata, nasib mereka agak cerah apabila ada individu yang menyumbangkan mesin pemotong rumput untuk suaminya, malah ada pihak lain yang sanggup mencari rumah sewa baru buat mereka dan sudah membayar sewa sebanyak RM350 untuk beberapa bulan.
“Saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan namun dalam masa yang sama berasa bimbang jika di masa akan datang tidak mampu membayar sewa rumah yang bagi kami agak besar jumlahnya itu.
“Suami ada memiliki tanah pusaka yang tidak berapa luas di Kampung Pauh Sebanjar tidak jauh dari sini dan kami berharap ada mana-mana pihak yang dapat membantu kami mendirikan rumah sendiri walaupun sempit asalkan kami sudah tidak menyewa,” katanya.
Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Siti Meriam di talian 011-64658044.
Sumber: My Metro