Rumah Tamu Jana Pendapatan Masjid Ar Rahman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Institusi masjid dalam era kontemporari bukan lagi sekadar berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi telah diperkasakan peranannya sebagai satu daya tarikan pelancongan yang mampu menjana pendapatan.

Idea rumah tamu yang diwujudkan oleh Masjid Ar Rahman di Kubang Batang di sini, ternyata langkah bijak yang diambil ahli jawatankuasanya apabila kini mampu menjadi antara sumber pendapatan masjid berkenaan. 

Imam Tua Masjid Ar Rahman Mat Husin Yusof berkata idea pembinaan rumah tamu itu dicetuskan hasil perbincangan ahli jawatankuasa masjid bersama seorang jurutera bersekali dengan pembinaan bangunan masjid pada 2017.

“Kami mahu masjid yang dibina mesra jemaah dan ada kemudahan untuk musafir. Pada masa yang sama, kami mahu masjid ini mampu jana pendapatan. Dari situlah tercetusnya idea untuk bina rumah tamu ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mat Husin berkata rumah tamu itu mula dibuka kepada orang ramai pada awal 2022 serentak dengan pembukaan Masjid Ar Rahman yang siap sepenuhnya pada tahun sama.

Katanya, rumah tamu yang dilengkapi dengan penyaman udara, tandas, kemudahan pemanas air dan seterika itu, dibina di sebelah masjid yang bersambung dengan rumah ibadah itu bagi memudahkan penyewa untuk berjemaah.

Terdapat tujuh bilik yang ditawarkan di rumah tamu Ar Rahman dengan harga RM120 bagi bilik yang mengandungi sebuah katil kelamin dan bujang manakala RM220 bagi bilik premium yang menyediakan dua katil kelamin dan sebuah katil bujang.

“Setakat ini, tempahan dibuat di kaunter yang disediakan di bahagian bawah rumah tamu secara datang terus atau walk-in,” katanya dan menambah setiap kemudahan disediakan sebaiknya untuk keselesaan tetamu.

Bercerita lanjut, Mat Husin berkata bilik tamu itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama pada cuti sekolah atau cuti umum dan kebanyakan pengunjung yang menginap di rumah tamu berkenaan adalah dari luar Kelantan dan juga pelancong dari Thailand.

“Setakat ini, kita mampu menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan dan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan dan pengurusan masjid termasuk mengadakan kelas agama, kuliah, program masjid dan sumbangan kepada asnaf,” katanya.

Beliau berkata pihak masjid mungkin akan mewujudkan beberapa lot kedai dan menyewa bangunan lain yang berdekatan untuk menjana lebih banyak pendapatan.

Sementara itu, Jurutera dan Penyelia Pembinaan Masjid Ar Rahman Kamarulzaman Salleh berkata keunikan rekaan masjid berkenaan yang diinspirasikan daripada reka bentuk Masjid Al-Nabawi di Madinah menjadi nilai tambah kepada tarikan pengunjung ke situ.

Katanya, masjid yang berkeluasan 34,000 kaki persegi itu dibina dengan kos berjumlah RM20 juta,  direka khas menggunakan jubin berkualiti tinggi.

Kamarulzaman berkata untuk seni bina dalaman, beliau menerapkan rekaan dan warna yang berbeza pada setiap bahagian dinding untuk mewujudkan elemen segar dan tidak membosankan selain perincian lampu dan kubah yang unik.

“Kita mahu masjid ini bukan hanya memberi keselesaan tetapi turut memberi pengalaman yang berbeza kepada jemaah sekali gus menarik lebih ramai pengunjung mengimarahkan masjid.

“Lokasi Masjid Ar Rahman yang strategik dengan gabungan warna biru dan hijau ini juga sudah boleh dilihat dari jarak tiga kilometer lagi bagi menggamit pengunjung untuk singgah,” katanya.

Menurut Kamarulzaman, ramai jemaah yang singgah menunaikan solat berkongsi keunikan masjid berkenaan menerusi media sosial menyebabkan masjid itu menerima lebih ramai pengunjung yang bertepatan dengan visi masjid iaitu bukan sahaja berperanan sebagai institusi ibadah, bahkan juga satu daripada tarikan pelancongan Islam.

— BERNAMA