Kota Kinabalu: Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini, pada 16 September depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sambutan secara sederhana dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Katanya, perkara itu dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk Hari Malaysia secara maya yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, semalam.
“Bagi pihak Kabinet negeri, kita berterima kasih dan menghargai keputusan kerajaan Pusat atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan sambutan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Bung Moktar yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia peringkat negeri, berkata berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara, sambutan akan diadakan dengan pematuhan ketat SOP.
“Ia akan berlangsung di tempat tertutup mengambil kira penjarakan fizikal, dengan kehadiran terhad yang sekitar 500 orang. Bagaimanapun ia bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di Sabah,” katanya.
Mengenai pengisian sambutan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pelbagai acara sudah siap disusun, antaranya majlis tahlil, persembahan koir dan majlis memotong kek Hari Malaysia.
Katanya, selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, satu persembahan khas artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang memaparkan usaha rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia menangani pandemik Covid-19 turut diadakan.
“Kita berharap melalui sambutan Hari Malaysia, bukan saja menyuntik semangat patriotik rakyat Malaysia khususnya generasi muda, kita juga mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersoladariti memerangi pandemik Covid-19,” katanya.
Sumber: My Metro