KOTA KINABALU: Sabah baru mencapai 74.79 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin COVID-19, manakala 76.09 peratus menerima satu dos suntikan setakat kelmarin.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhan, kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat kelmarin ialah seramai 2,428,936 orang.
Katanya, ia meliputi 2,098,987 orang penduduk dewasa atau bersamaan 76.09 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di negeri ini.
“Seramai 2,350,852 individu pula sudah lengkap vaksin setakat 4 November dengan 2,063,067 atau 74.79 peratus daripadanya adalah penduduk dewasa.
“Seramai 329,949 orang atau 76.03 peratus penduduk remaja pula menerima satu dos vaksin, manakala remaja yang sudah lengkap dos vaksin adalah seramai 287,785 atau 66.31 peratus setakat ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Sementara itu katanya, statistik pemberian vaksin yang dilaksanakan di Sabah kelmarin menunjukkan seramai 11,816 diberikan suntikan, masing-masing 8,069 orang penduduk dewasa, manakala 3,747 orang remaja.
Kerajaan negeri sebelum ini menetapkan akhir bulan lalu untuk mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin di Sabah, namun sasaran itu dilanjutkan ke bulan ini berikutan kadar pengambilan vaksin yang rendah.
Sumber: Berita Harian