KOTA KINABALU – Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya merasai kehilangan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang tidak lagi bersama skuad Sang Badak selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam tadi.
Kim Swee bagaimanapun berkata, pihaknya menghormati keputusan penyerang berumur 35 tahun itu yang sempat bermain bersama Sabah FC selama kira-kira dua tahun.
Katanya, keputusan diambil Baddrol itu bukan sesuatu yang mudah tetapi ia dibuat demi masa depan bekas pemain kebangsaan itu sendiri.
“Bukan mudah untuk Baddrol memilih untuk bersara namun apa yang Baddrol lakukan adalah demi kepentingan masa depan beliau, jadi kita harus menghormatinya.
“Seperti mana yang kita tahu, Baddrol bukan saja seorang pemain yang baik dalam padang tetapi juga seorang pemimpin yang cukup baik di luar padang.
“Jadi, kita pasti akan kehilangan seseorang terutama dalam ‘dressing room’ di mana beliau memainkan peranan yang cukup penting untuk pasukan Sabah,” katanya pada sidang media selepas aksi Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Likas, malam tadi.
Sementara itu, mengenai pengganti Baddrol, Kim Swee berkata perkara itu terpulang kepada pengurusan Sabah FC untuk membuat keputusan.
“Ini terpulang kepada pihak pengurusan di mana saya hanya akan cuba dengan seberapa daya dengan apa yang ada ketika ini, namun jika kita mempunyai kemampuan dari segi kewangan sudah tentu saya akan menambah baik lagi pasukan,” katanya.
Beliau berkata perkara itu penting memandangkan Sabah FC perlu mengharungi banyak lagi perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia, termasuk piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) akan datang.
Dalam sidang media berasingan malam tadi, Baddrol bagaimanapun masih berteka-teki mengenai hala tuju selepas perlawanan terakhirnya bersama pasukan Sang Badak itu.
Namun, beliau menafikan akan berhenti daripada bermain bola sepak, sebaliknya berkata perlawanan bersama Sabah FC malam tadi bukan penamat kariernya dalam sukan berkenaan.
– BERITA HARIAN