Sabah Kesan Kes Omicron Pertama – Masidi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan satu kes import COVID-19 varian Omicron pertama yang dikenal pasti di daerah Tawau di sini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pesakit membabitkan seorang warganegara yang pulang dari menunaikan umrah di Arab Saudi pada 9 hingga 18 Disember lalu.

Katanya, lelaki itu kembali ke Malaysia pada 19 Disember melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Tawau bersama isterinya pada 20 Disember lalu.

“Setibanya di Tawau, pesakit dan isteri diarahkan menjalani kuarantin di rumah mereka dan keputusan ujian ‘whole genome sequencing’ pada 4 Januari lalu menunjukkan beliau positif varian Omicron.

“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa sama dikesan positif COVID-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember lalu. Keputusan ‘whole genome sequencing’ untuk isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Masidi berkata, kedua-dua pesakit itu sudah menerima vaksin lengkap awal Jun tahun lalu.

“Keadaan kedua-dua pesakit pada masa ini adalah sihat. Ketika disahkan positif COVID-19, pesakit adalah kategori dua, manakala isterinya kategori satu.

“Mereka berdua sudah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari dan pulih daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian