Sabah tambah derita Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
SHAH ALAM: Sabah menambah derita Kelantan apabila membelasah skuad The Red Warriors (TRW) 7-0 dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Pesta gol Sabah bermula dengan jaringan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-25 sebelum Farhan Roslan dan Rizal Ghazali menambah dua gol pada minit ke-29 dan 39 untuk skuad Badak menutup babak pertama dengan kelebihan 3-0.

Sabah yang turun tanpa beberapa tonggak termasuk Darren Lok, Stuart Wilkin dan Dominic Tan menggalas tugas bersama Harimau Malaya menambah gol keempat menerusi penyudah Irfan Fazail pada minit ke-57.

Telmo Castanheira dan Ramon Machado meneruskan kenduri gol skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dengan meledak gol pantas pada minit ke-68 dan 70.

Malam gemilang Sabah dilengkapkan dengan jaringan ketujuh yang diledak S Kumaahran pada minit ke-89, sekali gus memberikan satu lagi kekalahan besar buat Kelantan musim ini. 

Kemenangan itu menyaksikan Sabah naik ke tangga keempat dengan mengumpul 45 mata, manakala Kelantan pula kekal di kedudukan tercorot dengan hanya meraih lapan mata selepas 23 perlawanan.

Kekalahan besar kepada Sabah itu turut menyaksikan Kelantan terus mengalami rekod terburuk apabila muncul pasukan pertama bolos dengan jumlah tiga angka iaitu 102 gol dalam sejarah Liga Super.
 
Sumber: Berita Harian