LONDON – Mohamed Salah menjaringkan dua gol ketika kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kembali meraih kemenangan selepas dua kekalahan berturut-turut liga, namun masih ketinggalan tujuh mata di belakang Spurs yang menduduki tangga keempat.
Liverpool bermula garang dan mendahului permainan selepas Darwin Nunez mengumpan bola kepada Salah dalam aksi di Stadium Tottenham Hotspur itu.
Pelawat kemudian mendahului 2-0 sebelum rehat apabila Eric Dier melakukan kesilapan dengan menanduk bola kepada Salah, dan penyerang Mesir itu tidak mensia-siakan peluang terhidang.
Harry Kane merapatkan jurang untuk Spurs pada minit ke-70 namun tidak mencukupi untuk mengelak kekalahan ketiga mereka dalam empat perlawanan liga.
“Saya suka persembahan malam ini. Kita tidak boleh konsisten dengan hanya bermain baik sepanjang masa. Ia berkenaan semangat juang yang kami tunjukkan malam ini,” kata Klopp.
Spurs, yang kini sudah tewas tujuh kali dalam sembilan pertemuan Liga Perdana Inggeris antara kedua-dua pasukan, turun tanpa penyerang Korea Selatan, Son Heung-min yang cedera di bahagian mata ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Marseille.
Salah yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan, kini sudah meledak 10 gol dalam 10 perlawanan selepas permulaan musim yang perlahan.
Pengendali Spurs, Antonio Conte berkata: “Kami ketinggalan berbanding pasukan lain yang sentiasa menang kerana mereka mempunyai skuad yang besar.”
Sumber : BERITA HARIAN