Salah, Mesir Uji Harimau Malaya?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Heboh dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila ada yang mengatakan Harimau Malaya akan menentang Mesir yang ditunjangi penyerang Liverpool, Mohamed Salah pada perlawanan persahabatan September ini.

Bagaimanapun, perkara itu hanya boleh dianggap sebagai khabar angin selepas tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman turut menjelaskan bahawa setakat ini tiada kata putus membabitkan perlawanan persahabatan skuad negara dengan pasukan diranking 35 dunia itu.

“Kita selagi tiada hitam putih tidak akan maklumkan perkara itu kerana tidak tahu betul atau tidak. Mungkin ia hanya khabar angin daripada penyokong bola sepak tempatan.

“Setakat ini, boleh saya katakan kita hanya sah akan bertemu China pada kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) September ini.

“Pada masa sama, FAM juga ada melakukan perbincangan bersama beberapa negara lain yang berada di kedudukan lebih baik daripada Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan,” katanya.

Harimau Malaya sebelum ini meraih kemenangan besar 4-1 dan 10-0 dalam dua aksi persahabatan berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Justeru, beberapa pihak menganggap skuad kendalian Kim Pan Gon perlu mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan lebih berkualiti atau berada di ranking lebih tinggi sebagai persediaan ke Piala Asia 2023, Januari depan.

Pada masa sama, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga mengesahkan skuad bimbingan Kim Pan Gon kemungkinan menguji pasukan seperti Taiwan, China dan Kuwait pada September depan.

– BERITA HARIAN