Mohamed Salah menamatkan kemarau golnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan gol kemenangan Liverpool ke atas Manchester City di Anfield lewat malam tadi.
Kejayaan itu menyaksikan dia kini memintas kedudukan Steven Gerard di tangga kedua senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool dalam kejohanan berkenaan.
Pemain kebangsaan Mesir itu menyamai rekod 120 jaringan liga milik Gerrard ketika Liverpool tewas 1-2 kepada Manchester United pada Ogos lalu tetapi kemudian melalui lima perlawanan EPL tanpa menjaringkan sebarang gol.
Bagaimanapun, Salah kali ini mengatasi pertahanan City untuk memintas rekod Gerrard dengan jaringannya yang ke-121 dan kini hanya dibezakan tujuh gol dengan rekod tertinggi 128 gol yang dilakukan Robbie Fowler buat kelab itu dalam EPL.
Salah telah menjaringkan tiga gol daripada sembilan perlawanan musim ini dan berdasarkan lima musim terakhirnya, dia menjaringkan sekurang-kurangya 19 gol bagi setiap musim berkenaan, sekali gus memberikan gambaran bahawa rekod Fowler itu akan dipecahkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Salah mengatasi rekod Gerrard dengan beraksi kurang 300 perlawananan berbanding bekas kapten The Reds itu, di mana pemain berusia 30 tahun berkenaan melakukannya hanya dalam 189 perlawanan.
Sumber : AWANI