Salman Al-Farisi: Pemuda Pencari Kebenaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Cintai sebuah kebenaran. Setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T haruslah mempunyai sifat cintakan kebenaran walaupun kebenaran itu bercanggah dengan perilakunya.

Kembali kepada kebenaran di saat kita mencanggahinya adalah sifat yang sangat terpuji. Persis satu kalam hikmah daripada Umar al-Khattab;

“Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berkekalan di dalam kebatilan.”

Kisah seorang sahabat Nabi S.A.W yang bernama Salman al-Farisi sangat menarik untuk sama-sama kita telusuri. Sebelum memeluk Islam bersama Nabi S.A.W, beliau pada asalnya beragama Majusi dan pernah menganut agama Nasrani.

Beliau tertarik dengan agama Nasrani ketika melalui gereja dan melihat cara mereka menyembah tuhan. Lalu beliau pulang memberitahu ayahnya yang mengakibatkan beliau dirantai dan dikurung oleh ayahnya sendiri.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh Salman kerana sifatnya yang ingin tahu dan kritis. Salman tidak berdiam diri di saat beliau dikurung oleh bapanya.

Beliau membuat keputusan untuk melarikan diri dan berhijrah ke Syria kerana di sana terdapat seorang pendeta Nasrani yang boleh membimbingnya.

Tahun demi tahun beliau mendampingi pendeta-pendeta Nasrani sehingga kewafatan mereka. Beliau sempat belajar daripada pendeta-pendeta Nasrani dan mengetahui tanda-tanda kenabian Nabi akhir zaman daripada mereka sebelum beliau ditipu oleh pedagang dan dijadikan hamba.

Di sebalik ujian getir yang beliau hadapi, tersirat hikmah yang tidak ternilai harganya. Beliau akhirnya dibeli oleh tuan yang membawanya sampai ke bumi Madinah, tempat hijrah Nabi akhir zaman.

Pertemuannya dengan Nabi S.A.W, memberikan satu kesan besar kepada dirinya kerana beliau sempat beriman dan tergolong dalam kalangan sahabat yang terkenal.

Namanya kekal dalam lipatan sirah junjungan mulia ketika buah fikirnya diterima Nabi S.A.W dalam peristiwa Ghazwah Khandak.

Kisah Salman yang cekal dan tabah dalam mengharungi ujian sepanjang perjalanan mencari kebenaran sangat baik untuk kita sama-sama renungi.

Perasaan ingin tahu membuatkan beliau keluar dari ‘sangkar’ taklid kepada kebebasan berfikir dan menilai.

Begitu hebat pemuda ini, sikapnya yang hebat perlu dicontohi pemuda kini. 

Sumber: TZKRH.COM