LONDON: FIFA kini menyiasat bagaimana chef selebriti, Salt Bae boleh mendapat “akses tidak wajar” ke dalam padang selepas final Piala Dunia ketika dia teruja bergambar dengan pemain Argentina yang terkejut dan Lionel Messi yang tampak tidak selesa.
Salt Bae yang nama sebenarnya Nusret Gokce, dilihat memegang dan mencium trofi selepas Argentina menewaskan Perancis pada final di Qatar.
Usahawan Turki itu dikritik secara meluas kerana dua kali memegang lengan Messi, yang cuba mengelak tumpuan tidak dimahukan itu.
Dia juga dilihat bergambar dengan Angel di Maria, Lisandro Martinez malah menggigit medal seorang pemain lain.
Peraturan FIFA menetapkan bahawa trofi Piala Dunia hanya boleh dipegang oleh pemenang dan pegawai FIFA serta ketua negara.
“Selepas melihat perkara berkenaan, FIFA sedang mengenalpasti babagaimana individu boleh mendapat akses tidak wajar ke padang selepas majlis penutup di Stadium Lusail pada 18 Disember,” kata seorang jurucakap kepada BBC.
“Langkah selanjutnya akan diambil.”
Salt Bae, 39, ialah pemilik rangkaian restoran mewah seluruh dunia termasuk di Beverly Hills dekat Los Angeles dan Knightsbridge dekat London.
Pada awal Piala Dunia, dia memuatnaik video dirinya duduk bersebelahan Presiden FIFA, Gianni Infantino. – AFP
Sumber: BERITA HARIAN