Salur RM1 Bilion Bantu Selesaikan Isu Air Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG: Sebanyak RM1 bilion sudah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang sudah membelenggu rakyat negeri ini sejak puluhan tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu sudah disalurkan kepada Kelantan bermula tahun ini.

“Jumlah itu (RM1 bilion) sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan, Kerajaan Persekutuan mahu tata kelola dan libat urus berkait dengan perkara ini dijalankan secara telus,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Pekarangan Maahad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keperluan untuk menempatkan pegawai di dalam Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) bagi membuat pemantauan Ahmad Zahid memberitahu, pihkanya menyerahkan perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri menuntut kerjasama penuh daripada Kerajaan Negeri sekiranya mahu menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu Kelantan sejak sekian lama.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan akan mengemukakan cadangan projek bekalan air yang lengkap dan cepat dalam meringankan beban rakyat.

Isu air di negeri ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia sudah menjadi ‘duri dalam daging’ buat seluruh penduduk.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mendedahkan mereka memerlukan RM7 bilion bagi menyelesaikan keseluruhan masalah air yang dihadapi di negeri itu sejak puluhan tahun lalu.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, masalah utama yang dihadapi Kelantan untuk menyelesaikan masalah berkenaan adalah isu kewangan.

Katanya, pada asalnya, kos untuk masalah itu sebanyak RM2 bilion, namun kini sudah meningkat kepada RM7 bililon.

Sumber: UTUSAN