LONDON – Pengurus baharu Chelsea, Graham Potter berkata dia tertarik dengan visi pengerusi, Todd Boehly walaupun pemilik dari Amerika Syarikat itu berdepan kritikan selepas beberapa bulan mengambil alih The Blues.
Potter meninggalkan Brighton minggu lalu untuk menandatangani kontrak lima tahun di Stamford Bridge sejurus Thomas Tuchel dipecat.
Keputusan itu mengecewakan beberapa pihak kerana ia berlaku beberapa hari selepas Chelsea membelanjakan £250 juta (RM1.3 bilion) ketika jendela perpindahan.
“Ia adalah permulaan untuk tempoh yang sangat menarik, saya fikir,” kata Potter dalam laman web kelab.
“Pemilikan baharu, benar-benar membuatkan saya kagum dan tertarik. Pertama sebagai pemimpin, dan kemudian visi mereka dan perancangan yang mahu dilakukan.”
Chelsea menduduki tempat keenam Liga Perdana Inggeris musim ini selepas permulaan hambar dan tewas 1-0 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Dinamo Zagreb.
Potter membina reputasinya dengan menerapkan permainan menarik dan taktikal bijak yang melonjakkan prestasi Brighton walaupun tanpa pemain-pemain bintang.
Tetapi tekanan dan ujian sebenar Potter akan bermula apabila Chelsea menerima kunjungan Salzburg pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
“Kami akan beraksi secara menyerang, dan pemain bebas untuk membuat keputusan dan menunjukkan kemampuan mereka.
“Ia mengenai kemenangan, membina pasukan yang jujur dan bekerjasama, ia adalah kombinasi antara bola sepak dan nilai kemanusiaan.
“Anda perlu faham mereka adalah manusia, kuncinya ialah anda perlu memahami mereka, apa yang memotivasikan mereka dan apa yang mereka suka sebagai manusia.
“Dari situ anda akan menemui titik persamaan, membina hubungan, berkomunikasi setiap hari, membina rasa hormat, kejujuran dan kepercayaan,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN