MANCHESTER: Pemain Manchester United, Jadon Sancho semakin hampir untuk kembali ke Borussia Dortmund sebagai pemain pinjaman.
Sancho, 23, dipinggirkan oleh Erik ten Hag dan dilarang daripada berlatih dengan skuad utama selepas enggan meminta maaf kerana mempersoalkan kenyataan pengendali United itu.
Ten Hag pada September lalu mengkritik prestasi Sancho ketika latihan dan kini masa depannya di Old Trafford terus menjadi tanda tanya.
Bekas penyerang Dortmund itu menyertai United pada tahun 2021 tetapi gagal mempamerkan prestasi seperti di Bundesliga apabila hanya meledak 12 gol dalam 82 penampilan di England.
Dortmund dalam usaha memperkuat jentera serangan bagi memburu kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.
Skuad kendalian Edin Terzic kini berada enam mata di belakang pasukan tangga keempat Bundesliga.
Kelab Jerman itu menawarkan talian hayat buat Sancho dan sedia menerimanya sebagai pemain pinjaman.
Semalam tular gambar ketibaan Sancho di Jerman bagi menyempurnakan perpindahannya secara pinjaman.
Sancho turut memberi isyarat berkenaan perpindahannya ke Bundesliga apabila memuat naik gambarnya ketika beraksi di Dortmund sebagai gambar profilnya.
Dia dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan hari ini bagi melengkapkan perpindahannya. – AGENSI