Sane Bantu Bayern Kekal Rekod Sempurna

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PARIS – Leroy Sane meledak dua gol ketika Bayern Munich meneruskan rentak terbaik dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi apabila menang 5-0 mengatasi pencabar dari Kumpulan C, Viktoria Plzen.

Namun pendahulu Kumpulan D, Sporting Lisbon terpaksa membayar harga yang mahal kerana kesilapan penjaga gol apabila tewas 4-1 di tangan Marseille yang memberikan kemenangan pertama buat pasukan Perancis itu dalam kempen kali ini.

Selepas keputusan baik di Milan berdepan Inter dan di laman sendiri bertemu Barcelona, Bayern melupakan ketiadaan Joshua Kimmich dan Thomas Mueller, yang diuji positif COVID-19 Sabtu lalu.

Bersama sembilan mata, skuad kendalian Julian Nagelsmann seakan sudah menempah tiket ke pusingan kalah mati.

“Kami tenang, kami mendominasi dan kami mengawal sepenuhnya,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer.

“Apabila semuanya berjalan lancar, kami hampir tidak boleh disekat.

“Ia sesuatu yang bagus apabila anda bermain dengan baik, apabila anda pantas menjaringkan gol. Buat lawan, mereka sukar menukar perlawanan dan mencipta peluang.

“Ia adalah penting selepas pertemuan dengan Leverkusen, untuk meneruskan rentak kemenangan,” kata Neuer mengenai Bayern yang menang 4-0 dalam aksi Bundesliga mengatasi Bayern Leverkusen Jumaat lalu.

Pemain antarabangsa Jerman, Sane meledak dari jarak dekat selepas tujuh minit dan menambah satu lagi gol lima minit selepas bersambung babak kedua.

Antara dua jaringan Sane, Serge Gnabry menambah gol pada minit ke-13 berikutan serangan balas pantas diketuai Alphonso Davies, Jamal Musiala dan Leon Goretzka, sebelum Sadio Mane meledak gol ketiga Bayern selepas 21 minit.

Ia adalah gol pertama dalam Liga Juara-Juara buat bekas penyerang Liverpool, Mane bersama gergasi Jerman itu.

Pemain gantian, Eric Maxim Choupo-Moting masuk dari bangku simpanan pada babak pertama dan menambah jaringan kelima sebelum sejam perlawanan.

Juara Eropah enam kali itu mencipta sejarah dalam Liga Juara-Juara dengan melalui 31 perlawanan berturut-turut tanpa kalah pada peringkat kumpulan.

Sumber : BERITA HARIAN