Maran: Berjalan sejauh 35 kilometer (km) untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Demikian kesungguhan ditunjukkan seorang warga emas dari Kampung Kertau, di sini, yang mahu mendapatkan suntikan perlindungan dalam Program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Klinik Kesihatan Kuala Wau, dekat sini.
Shaikh Ramly Sheikh Ahmad, 78, yang mengalami masalah penglihatan berjalan seorang diri dengan memegang tongkat dan membawa beg untuk ke klinik berkenaan.
Menurutnya, dia mengetahui mengenai program itu daripada individu yang menghantar bantuan makanan ke rumahnya, semalam.
“Saya keluar rumah seawal jam 6 pagi kerana perlu berjalan untuk ke klinik berkenaan yang terletak jauh dari rumah.
“Saya memang harap dapat suntikan kerana saya tidak pernah mendaftar untuk mendapatkan vaksin disebabkan tiada kemudahan teknologi selain masalah penglihatan,” katanya ketika ditemui jurugambar Farizul Hafiz Awang pada jam 10 pagi tadi.
Sebelum itu, Shaikh Ramly yang berjalan seorang diri mendapat perhatian Farizul Hafiz yang ketika itu dalam perjalanan untuk membuat liputan program berkenaan.
Farizul Hafiz yang menaiki kereta bersama rakan bersimpati apabila melihat warga emas itu berjalan seorang diri lalu memberhentikan kenderaan untuk bertanya destinasi dan mahu membantu menghantarnya.
Namun, katanya, secara kebetulan warga emas terbabit mahu ke lokasi sama lalu mereka menumpangkannya.
Farizul Hafiz berkata, sebaik tiba di lokasi, Shaikh Ramly dibantu anggota polis yang bertugas dengan membawanya membuat pendaftaran di kaunter sebelum mendapat suntikan vaksin.
Program berkenaan dilaksanakan atas insiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyediakan tiga bas untuk kegunaan penduduk setempat bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Sumber: My Metro