PEKAN, 10 SEPTEMBER 2021 : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini menetapkan sasaran peningkatan hasil pengeluaran padi dapat dilaksanakan di Jelapang Padi Pekan dan Rompin.
Timbalan Menteri 1 MAFI, YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah berkata, tinjauan yang dilakukan juga adalah untuk melihat sendiri sebarang masalah serta usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut.
“Tujuan saya datang untuk buat tinjauan di IADA Pekan dan kemudiannya ke IADA Rompin bagi mengenalpasti tentang masalah sebenar yang dihadapi serta setakat mana perancangan yang dilakukan telah dicapai dan memastikan supaya penuaian padi di dua-dua kawasan ini akan terus tercapai seperti yang diharapkan.
“Pada ketika ini, pesawah-pesawah kita sangat mengharapkan satu pembelaan dan inilah satu daripada tugas dan tanggungjawab pihak kementerian bagi memastikan kita dapat meningkatkan lagi pengeluaran dan pendapatan petani.
“Dalam masa yang sama, kita nak pastikan tahap sara diri (SSL) negara kita akan dapat dipertingkatkan kerana pada ketika ini kita masih lagi bergantung kepada pembelian beras daripada luar negara sebanyak 30 peratus,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika lawatan kerja ke Jelapang Padi Pekan, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Ahli Jemaah Pengarah PASFA, YH Dato’ Zamri Yaakob serta Pengarah IADA Pekan, Encik Muhamad Khalil Idris.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut menghargai usaha berterusan dari pihak MAFI dalam membela nasib petani khususnya di daerah Pekan.
“Projek Jelapang Padi IADA Pekan ditubuhkan Perdana Menteri Ke-6, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak pada tahun 2013 lalu melibatkan kawasan seluas 7,211 hektar iaitu di Mambang, Pulau Jawa, Pulau Tambun, Ganchong, Pahang Tua, Serandu dan yang paling besar adalah di Merchong seluas 4,134 hektar melibatkan 1716 petani.
“Saya juga telah meminta pihak kementerian untuk memberi perhatian terutamanya berkenaan projek infrastruktur melibatkan pembinaan saliran air di Jelapang Padi Merchong.
“Saya yakin dengan segala usaha yang dirancang pihak kementerian bersama-sama Kerajaan Pahang nanti akan mampu menjamin masa depan para petani dan meningkatkan pendapatan mereka serta projek Jelapang Padi Pekan akan berjaya mencapai matlamatnya sebagai Gedung Makanan Negara,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA