IPOH – Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menyasarkan kutipan sebanyak RM1.7 juta untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC.
Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim berkata, jumlah itu mampu dicapai sekiranya setiap rakyat di negeri ini menderma RM1 seorang dalam tempoh empat hari sehingga Khamis ini.
“Sebelum ini kita harapkan pemilik Perak FC dapat selesaikan kemelut ini namun apa yang kita nampak, saban hari keadaan semakin genting dan pasukan kita sudah di hujung tanduk.
“Jika pasukan gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum atau pada 21 April ini maka First Instance Body (FIB) akan memutuskan tindakan seterusnya, lesen ditarik balik dan disingkirkan daripada Liga Malaysia adalah hukuman yang menanti,” katanya lagi dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, keadaan itu amat terdesak apabila Perak FC berdepan risiko untuk disingkirkan dari saingan Liga Malaysia.
“Hanya beberapa hari sahaja lagi peta bola sepak negara bakal kehilangan satu lagi pasukan penuh tradisi, penuh sejarah dalam saingan Liga Malaysia.
“Kita boleh lihat sendiri sehingga hari ini, masih belum ada sebarang kepastian kemelut pengambilalihan kelab, kami terpanggil untuk selamatkan kelab kesayangan kami.
“Apa yang lebih penting memastikan survival Perak FC dalam saingan Liga-M dan rakyat Perak boleh buktikan dengan menyalurkan sumbangan. kita juga mengharapkan mana-mana pihak atau syarikat yang mempunyai kewangan kukuh untuk menyumbang,” katanya.
Sumber: SINAR HARIAN