Sasaran Wujud 500,000 Peluang Pekerjaan Berjaya Dicapai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Sasaran kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini berjaya dicapai, selepas 500,257 pencari kerja sudah berjaya memperoleh peluang pekerjaannya menerusi 27 inisiatif diperkenal kerajaan setakat 3 Disember lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kejayaan diperoleh seiring Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia ini, amat bermakna terutama ketika pasaran buruh menghadapi cabaran getir akibat pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi, 5.3 peratus pada Mei 2020.

Beliau berkata, pencapaian ini juga dipacu menerusi inisiatif utama diperkenal kerajaan sebelum ini iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

“PenjanaKerjaya 2.0 berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

“Ia dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi MySTEP pula, berjaya melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan tahun ini, dengan menempatkan seramai 61,328 pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dari jumlah itu, seramai 41,680 orang pekerja berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 orang lagi ditempatkan di GLC dan rakan- rakan strategik mereka.

“Antaranya seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), PETRONAS, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional,” katanya.

Ismail Sabri berkata, selain PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP, kerajaan juga berjaya mewujudkan lebih 123,312 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dan 74.2 peratus daripadanya dalam kategori mahir dan separuh mahir.

“Jumlah itu sebahagian pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi 2021. Sejak program PenjanaKerjaya 2.0 dan MySTEP mula dilaksanakan pada Januari lalu juga, jumlah pekerjaan yang disediakan sentiasa mengatasi sasaran bulanan yang ditetapkan,” katanya.

Memandang ke hadapan beliau berkata, menerusi Belanjawan 2022, inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

“Kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion.

“Kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

Diharap, usaha ini dapat mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan baharu bagi 2022,” katanya.

Selain itu katanya, dibawah inisiatif MySTEP, penawaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mereka mulai Januari 2022.

“Kerajaan yakin strategi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dapat meneruskan momentum penciptaan pekerjaan, selaras dengan pemulihan dan pembukaan pelbagai sektor-sektor ekonomi. Seterusnya, berusaha menangani isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan dan isu berkaitan penggajian.

“Perkembangan ini sekali gus memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia terutama kumpulan asnaf, B40 dan M40. Inisiatif ini penting selepas pelbagai sektor ekonomi dibuka, kerajaan memastikan mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memulihkan penjanaan pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN