KUALA TERENGGANU, – Dua fasa kritikal dan mencabar perlu dihadapi pasukan teknikal serta jurutera Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam usaha membaiki kerosakan paip di dasar sungai yang berlaku sejak Isnin lalu.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, antara fasa penting perlu dihadapi adalah penyelarasan paip dengan diameter berukuran 1.2 meter di sungai kedalaman sehingga 18 meter.
“Oleh itu, kita perlu pengapit ‘clamp’ yang besar untuk diletakkan di bawah paip ganti itu, dengan tujuan membaikinya.
“Clamp kedua akan menghubungkan dua paip tersebut, selepas kita laraskan paip itu, pengapit kedua berperanan dalam menyambungnya.
“Setelah disambung, kita akan mulakan ujian dengan air tekanan rendah mungkin dikuasai satu engin dari loji untuk lihat jika ada kebocoran lagi, untuk memenuhi loji diatas bukit dan rumah-rumah ia memerlukan tekanan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, kelmarin.
Menurutnya lagi, proses menguji tekanan tersebut akan mengambil masa paling kurang dua hingga tiga hari bagi air di kawasan loji dapat beroperasi kembali, menandakan 70 peratus proses pembaikan akan siap.
Bercakap tentang cabaran dihadapi 10 orang penyelam yang menjalankan kerja membaikpulih itu, penglihatan kabur akibat air keruh dan arus sungai Terengganu yang deras memberi ancaman kepada keselamatan.
“Ini menyukarkan penyelam tidak boleh mengambil posisi yang stabil semasa pelaksanaan kerja-kerja pemasangan di dasar sungai.
“Pemasangan tersebut perlu dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keadaan, termasuk juga dengan saiz paip yang perlu diselaraskan, kerja pengukuhan paip juga akan diteruskan setelah selesai fasa itu,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menasihati komuniti di Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu supaya bersabar kerana usaha membaikpulih itu akan terus berjalan bagi mengembalikkan keperluan asas di rumah-rumah terkesan.
Sumber: TRDI News