Satu Lagi Perangkap Harimau Akan Dipasang Di Felda Kertih 4

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akan memasang satu lagi perangkap bagi menangkap harimau yang dipercayai berkeliaran di ladang Felda Kertih 4 di Dungun.

Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan haiwan liar yang dilaporkan menyerang lembu milik 30 penternak di ladang itu dapat ditangkap. 

“Rabu lalu, kita telah memasang satu unit perangkap di ladang susulan aduan daripada penternak mengenai kehilangan ternakan mereka.

“InsyaAllah, kita akan memasang satu lagi unit perangkap hari ini, malah kakitangan Perhilitan telah membuat pemantauan dan kawalan bermula Ahad lalu bagi menangkap harimau berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Malek berkata, sebanyak dua aduan serangan harimau diterima iaitu pada 24 November lalu membabitkan dua lembu diikuti seekor enam hari berikutnya.

Menurutnya, haiwan liar tersebut dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rasau di sini untuk mencari makan dan berdasarkan kesan tapak kaki, pihaknya percaya hanya seekor harimau yang berkeliaran. 

“Kita akan meneruskan operasi menangkap harimau ini untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin,” katanya. -UTUSAN ONLINE