KUALA TERENGGANU – Hanya satu daripada 21 sungai di negeri ini melepasi paras amaran.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang dikemas kini sehingga jam 9.30 pagi ini, sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu merekodkan bacaan 7.32 meter (m) melepasi paras amaran 7.0m.
Sebanyak 20 lagi sungai masih merekodkan bacaan di bawah paras normal.
Hujan lebat dan angin yang berterusan sejak Jumaat punca berlakunya kenaikan paras air sungai.
Difahamkan, Jawatankuasa Bencana negeri ini sudah berada dalam keadaan bersiap siaga menghadapi banjir gelombang ketiga.
Beberapa kawasan rendah dilaporkan sudah dinaiki air dan penduduk mula membuat persiapan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan dibuka.
Difahamkan, penduduk yang tinggal di kawasan Perumahan Taman Murni Permai di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus sudah bersiap sedia untuk berpindah ke PPS, berikutan air di kawasan itu semakin naik.
Sumber : BERITA HARIAN