Kuala Terengganu: Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) mengumumkan pemberian air secara percuma atau pengecualian pembayaran bil kepada 130,000 pengguna yang terjejas bekalan air susulan krisis Air Berangan 1.0 dan 2.0, Ogos lalu.
Pengecualiankepada 28,700 akaun di daerah Kuala Nerus dan sebahagian daerah ini adalah membabitkan bayaran bil bagi bulan Oktober dan November 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM 1.2 juta.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Dr Mamad Puteh berkata, kos pengecualian itu bersamaan dengan penggunaan air sebanyak dua juta meter padu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang selain merangkap Ahli Lembaga Pengarah Satu berkata, krisis Air Berangan mengajar akan kepentingan menghargai air di dalam kehidupan seharian.
“Ia juga menuntut kesabaran bagi mendapatkan keredaan Allah, sebagaimana maksud surah An-Nahl ayat 14-15, Allah berfirman yang antara lain bermaksud DIA yang menguasai laut supaya kamu makan daging ikan yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kami pakai dan engkau lihat kapal berlayar di laut supaya kamu mencari kurniaan Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadanya” katanya menerusi satu kenyataan, kelmarin.
Justeru katanya, pengecualian bayaran bil bagi tempoh dua bulan itu diharap dapat meringankan beban rakyat sepanjang tempoh krisis.
Menurut Mamad, penggunaan berhemah akan memastikan Sistem Agihan Air Terawat di kawasan terbabit tidak akan berulang.
Sebelum ini, susulan krisis itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berjanji memberi air percuma atau pengecualian bil selama dua bulan kepada pengguna terjejas.
Sumber: My Metro