Scotland Kejutkan Sepanyol

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GLASGOW – Scott McTominay meledak dua gol ketika Scotland mengejutkan Sepanyol 2-0 di Hampden Park awal pagi untuk meneruskan persembahan sempurna dalam kelayakan Euro 2024.

McTominay masuk dari bangku simpanan untuk meledak dua gol berdepan Cyprus hujung minggu lalu dan pemain tengah Manchester United itu menemui gawang pada awal kedua-dua babak bagi memastikan kemenangan paling popular Scotland selepas mengatasi Perancis pada 2007.

“Pengurus berkata ini adalah peluang buat kami mencipta legasi sebagai pemain Scotland dan ini adalah malam yang akan diingati dalam 20, 30 tahun,” kata McTominay.

Skuad kendalian Steve Clarke mencipta persembahan terbaik dalam usaha mereka layak buat kali kedua berturut-turut ke Kejohanan Eropah apabila berkedudukan teratas Kumpulan A dengan mata maksimum dalam dua aksi awal.

Namun persoalan akan ditanya kepada bos Sepanyol, Luis de la Fuente kerana membuat lapan pertukaran daripada skuad yang menewaskan Norway 3-0 dalam aksi pertama dia mengetuai pasukan pada Sabtu.

McTominay hanya meledak sekali dalam aksi antarabangsa sepanjang 37 penampilan sebelum menemui empat gol dalam empat hari.

Scotland bernasib baik apabila Pedro Porro tergelincir yang memberikan bola buat Andy Robertson seterusnya buat McTominay yang menyepak namun terkena Inigo Martinez seterusnya melepasi Kepa Arrizabalaga.

De la Fuente cuba membalas buat juara Eropah tiga kali itu dengan memasukkan Dani Carvajal dan Nico Williams.

Namun pertahanan kanan Real Madrid, Carvajal membuat kesilapan apabila Scotland meledak sekali lagi enam minit selepas bermula babak kedua.

Sepanyol berkampung pada setengah jam terakhir di kawasan Scotland namun ia cerita sama yang menunjukkan mereka kekurangan sentuhan penyudah buat La Roja.

“Kami tahu mereka banyak mengawal bola dan pengurus berkata kami perlu klinikal apabila ada peluang,” tambah McTominay.

“Lihat tempat ini – saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini,”

– BERITA HARIAN