Oleh Najmi Mamat
Lazimnya, ketika di hari penting untuk seorang pelajar yang bergraduasi semestinya tidak akan melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan dengan ibu bapa dan keluarga menerusi gambar pada majlis konvokesyen.
Namun, situasi ini berbeza pula bagi graduan Ijazah Pergigian Jordan University of Science and Technology, Muhammad Amir Rusydi Mohd Nasir, 23, apabila gambarnya yang memaparkan dia berjubah konvokesyen sambil memegang sekeping foto ibu dan bapanya yang sudah meninggal dunia, menyentuh hati netizen.
Gambar yang dimuat naik menerusi akaun sosial medianya pada 17 Jun lalu berserta kapsyen berupa coretan luahan hatinya ternyata mendapat perhatian.
https://www.instagram.com/p/By4627oHPjQAYJ-xq5YR7On1emkn0C_rERIIU00/
“Saya hantar (post) tu memang sekadar untuk post sahaja tanpa ada niat untuk tular dan sebagainya. Sekadar seorang anak nak post gambar dengan ibu dan ayah dia di hari konvokesyen,” jelas Amir yang berharap perkongsian itu dapat menjadi inspirasi kepada orang lain yang mungkin tidak bernasib baik lebih darinya.
Menurut Amir, bapanya Mohd Nasir Hassan meninggal dunia pada 19 Jun 2009 akibat serangan jantung, manakala ibunya, Kamariah Mohd Razhali pula akibat barah pada 13 Disember 2013 iaitu setahun sebelum dia menyambung pengajian di Jordan dalam bidang pergigian.
“Aku selalu terbaca di media sosial, anak-anak yang kehilangan ibu bapa akan tercicir dalam pelajaran, akan gagal dalam hidup. Alhamdulillah hari ini seorang anak yatim piatu berjaya buktikan yang tak semua sangkaan dan andaian orang awam ni betul,” luah Amir menerusi akaun Facebook yang mendapat 357 perkongsian itu.
Bertanyakan tentang perancangannya selepas graduasi, Amir berkata dia akan melapor diri di Majlis Pergigian Malaysia (DMC) sebaik sahaja pulang ke tanah air nanti yang dijangka pada minggu depan.
“Selepas itu, saya akan berehat sementara menunggu tawaran untuk berkhidmat sebagai doktor gigi,” katanya ketika dihubungi Manis FM.
Amir, yang berasal dari Pekan, Pahang, berkata dia bagaimanapun bersyukur kerana diberi peluang untuk membawa adik-beradiknya ke Jordan pada hari graduasi di universitinya.
Bercita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi sejak dibangku sekolah lagi, selain ibu dan bapanya, ahli keluarga serta teman rapat turut menjadi sumber kekuatannya untuk menghabiskan lima tahun pengajiannya di Jordan.