Sebaik-Baik Air di Muka Bumi! Umat Islam Perlu Tahu Sejarah Dan Kelebihan Air Zam Zam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sepertimana yang kita ketahui, air zam zam muncul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah.

Hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) Makkah. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

Kisah ini juga diceritakan dalam sahih al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis.

Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Safa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya.

Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Safa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga.

Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah saie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu.”

Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”

Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar.”

Berdasarkan riwayat Ibn Majah, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, terdapat beberapa fadilat dan kelebihan yang berkaitan dengan air zam zam, antaranya:

1. Ia mempunyai nama yang banyak dan nama yang banyak itu menandakan atau menunjukkan akan kemuliaannya. Dalam Taj al-Arus, dinukilkan daripada Ibn Birri, terdapat 12 nama bagi air zam zam.

2. Air zam zam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (2/41).

3. Air zam zam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang asah (lebih sahih) bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.

4. Air zam zam adalah kurniaan daripada Allah yang utama kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Ismail AS.

5. Air zam zam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah. Inilah adalah pendapat Imam Ibn al-Daiba’ al-Syaibani.

6. Allah SWT telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.

7. Banyak minum air zam zam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq. (Hal ini kerana orang munafiq tidak mempercayai kelebihannya).

Melihat kepada firman Allah SWT dan hadis di atas, Zulkifli berkata, Allah SWT telah memberi nikmat kepadanya (Hajar) dan juga kepada anaknya (Ismail) dengan terpancutnya air (zam zam) dari tempat yang kering kontang dan tidak mempunyai apa-apa.

Kelebihan Air Zamzam

Menurut Zulkifli, air zam zam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Antara keistimewaan air zam zam ini kata Zulkifli adalah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya.

Hal ini adalah sebagaimana hadis daripada Abu Zar R.A bahawasanya Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya air zam zam ialah air yang penuh dengan keberkatan dan mengandungi makanan yang mengenyangkan.”

Air zam zam juga merupakan sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi dan penawar daripada penyakit. Terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zam zam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.”

Selain itu, al-Munawi ada menyebutkan bahawa air zam zam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail AS.

Sumber: MSTAR