Sedekah Paling Afdal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Mengambil peduli terhadap kebajikan orang lain adalah sangat dituntut dalam ajaran agama Islam. Tanpa mengira keluarga ataupun tidak. Berdasarkan Firman Allah SWT :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 2)

Syariat Islam menekankan agar kita mengutamakan kebajikan ahli keluarga sendiri terlebih dahulu kerana mereka adalah antara orang-orang yang paling dekat dengan kita. Jangan ada didalam kalangan kita yang membiarkan ahli keluarga sendiri hidup dalam keadaan susah serta terabai.

Rasulullah SAW telah menjelaskan betapa pentingnya memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Bermula dari ahli keluarga terdekat. Selaras dengan Firman Allah SWT:

وَاٰتِ ذَا الْقُرْبٰى حَقَّهٗ وَالْمِسْكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيْرًا

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”. (Surah Al-Isra’, ayat 26)

Membina sebuah keluarga yang bahagia itu adalah dengan mengambil sifat peduli antara satu sama lain sekaligus dapat melahirkan masyarakat yang makmur dan sejahtera. Dalam melaksanakan amal kebajikan, ahli keluarga adalah golongan yang paling utama untuk diberikan perhatian. Adapun kebajikan yang dilaksanakan terhadap orang lain haruslah seiring dengan kebajikan yang dilakukan kepada ahli keluarga.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya”. (Riwayat Abu Daud)

Bersedekah kepada kaum kerabat merupakan kategori sedekah yang paling afdal setelah bersedekah kepada kedua ibu bapa. Berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: “Daripada Anas bin Malik RA beliau berkata: “Abu Talhah merupakan individu dari kalangan Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah. Harta yang paling beliau cintai adalah suatu kebun yang disebut sebagai Bayraha dan ia terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah SAW pernah memasuki kebun tersebut dan meminum suatu minuman yang enak di dalamnya. Lalu Anas berkata: “Kamu sama sekali tidak akan mencapai pahala kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan apa yang kamu cintai”.

Maka Abu Talhah pun menuju kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

“Sesungguhnya Allah telah berkata di dalam kitab-Nya: Kamu sama sekali tidak akan mencapai pahala kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan apa yang kamu cintai. dan sesungguhnya harta yang paling aku cintai adalah Bayraha dan ia mengharapkan kebajikan dan ganjarannya di sisi Allah. Maka gunakanlah ia wahai Rasulullah ke mana sahaja yang kau kehendaki. Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amat baik ia merupakan harta menguntungkan. Aku telah mendengar apa yang kamu sebutkan namun aku berpendapat agar ia (bersedekah kebun tersebut) diberikan kepada kaum kerabat kamu. Maka Abu Talhah pun mengagihkan kebun itu kepada kaum kerabatnya dan juga sepupu-sepupu beliau dari sebelah ayah”. (Riwayat Muslim)

Setelah semua keperluan ahli keluarga terdekat dipenuhi, kita juga bertanggungjawab untuk mengambil berat kebajikan orang lain yang memerlukan bantuan seperti jiran tetangga kerana ereka juga adalah antara orang yang hampir dengan kita. Dalam sebuah hadis daripada Abi Syuraih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya”. (Riwayat Muslim)

Antara bukti keimanan seseorang adalah dengan memiliki sifat yang prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga, sebaliknya tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang berada dalam kelaparan.

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan Skuad Musaa’dah Keluarga Malaysia yang disertai oleh 14 buah agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dilancarkan baru-baru ini.

Skuad tersebut bertujuan untuk menyantuni asnaf dan keluarga yang memerlukan dengan agihan bantuan bakul makanan, wang tunai dan barangan keperluan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. Program tersebut merancakkan lagi pelbagai inisiatif yang telah digerakkan oleh Jawi sebelum ini seperti bantuan Jawi Food Bank, Gerobok Rezeki Masjid dan Dapur It’am yang mengedarkan pek makanan bermasak secara percuma setiap hari kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Ibrah buat diri ini agar sentiasa memerhatikan orang-orang sekeliling. Menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslimn untuk membantu keluarga, jiran mahupun orang yang tidak dikenali saat mereka memerlukan.

Sumber : HARIAN METRO