Sedia hadapi kemungkinan timun tenggelam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Pengusaha ladang timun reda dengan kemungkinan berdepan kerugian puluhan ribu ringgit jika tanaman ditenggelami banjir susulan paras air Sungai Golok meningkat sejak semalam.

Che Husain Ismail, 61, yang memiliki ladang timun seluas 0.4 hektar mengakui kini dalam proses akhir untuk mengutip hasil tanaman dan berhadapan dengan musim hujan tidak menentu.

Menurutnya, dia turut mengalami kerugian selepas hanya mampu mengutip 400 sehingga 600 kilogram (kg) timun sahaja sehari, berbanding 1.5 tan sehari sebelum musim tengkujuh.

Katanya, ketika ini adalah kutipan untuk musim keempat bagi tahun ini selepas ia ditanam pada 22 Oktober dan dijangka siap dikutip pada 22 Disember nanti.

“Bagaimanapun, saya mengalami kekangan kerana berhadapan dengan musim tengkujuh selain cuaca tidak menentu.

“Ladang saya di kawasan rendah dan hampir setiap tahun ditenggelami air sedalam 0.8 sehingga 1.5 meter, justeru petani di kawasan ini sudah biasa untuk menyediakan payung sebelum hujan supaya tanaman dapat diselamatkan setakat yang mampu.

“Biasanya, setiap satu musim, saya dapat memetik sehingga 20 tan timun, tetapi kali ini dianggarkan kurang 10 tan, sekali gus menanggung rugi,” katanya ketika ditemui di ladang timun, miliknya di Kampung Kok Pauh, di sini, hari ini.

CHE Husain mengutip hasil tanaman timun di ladang timun miliknya seluas 0.4 hektar di Kampung Kok Pauh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Husain mengutip hasil tanaman timun di ladang timun miliknya seluas 0.4 hektar di Kampung Kok Pauh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 8.19 meter setakat 11.15 pagi hari ini, dengan trend air semakin meningkat.

Kawasan rendah termasuk Kampung Kok Pauh biasa digenangi banjir jika bacaan paras Sungai Golok mencecah sembilan sehingga 10 meter.

Che Husain berkata, semua 3,000 polibeg diusahakan itu berkemungkinan besar hanya dibiarkan ditenggelami banjir kerana tidak mempunyai masa cukup untuk menyimpanya ke tempat selamat.

Menurutnya, biasanya jika hujan lebat berlanjutan selama dua hari, kawasan itu akan dinaiki air dan timun belum dipetik terpaksa dibiarkan begitu sahaja.

“Ini sudah menjadi lumrah alam, jadi tidak mengapa mengalami kerugian dalam bertani kerana apa yang penting kita harus bangkit semula bercucuk tanam selepas keadaan kembali pulih.

“Setiap musim, saya perlu mengeluarkan modal lebih RM10,000 termasuk untuk membayar pekerja dan kos baja,” katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang.

Sumber: My Metro