Sejarah Kiswah Kaabah, Kenapa Warna Hitam?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Saban tahun, ratusan ribu umat Islam dari serata pelosok dunia menunaikan ibadah haji di rumah Allah, Kaabah yang terletak di Masjidil Haram, Arab Saudi.

Setiap tahun juga, sesuai tradisi sekitar waktu rukun Islam kelima ini pada tanggal 9 Zulhijjah, Kaabah akan diselimuti dengan selembar kain sutera hitam yang dilapisi dengan kain kapas putih serta sulaman emas ayat-ayat suci al-Quran yang dipanggil Kiswah. 

Dengan berat lebih 670kg, ayat-ayat al-Quran disulam dengan indah. Seramai 200 orang seniman dan pakar kaligrafi menyulam pelbagai bentuk kaligrafi dengan menggunakan benang emas serta perak murni. 

Mengikuti perkembangan sejarah Rasulullah SAW, ketika para rombongan haji bermalam di Padang Arafah, kain hitam yang melitupi Kaabah ini akan digantikan dengan Kiswah baharu. 

Berdasarkan sejarah, sewaktu penaklukan kembali Makkah oleh tentera Islam pada tahun 9 Hijrah, Nabi Muhammad telah menutupi seluruh bangunan Kaabah dengan kain Yaman berwarna putih bergaris merah semasa baginda melakukan haji sebelum pulang ke Madinah. 

Namun pada hari ini, Kiswah telah diangkat tiga meter ke atas dan ditambah dengan kain kapas putih di bawahnya, keliling Kaabah. Ini berdasarkan atas arahan Penjaga Dua Masjid Suci.

Tindakan tersebut diambil bagi menjaga kebersihan dan keselamatannya memandangkan para rombongan haji selalu memegang dan secara tidak sengaja mengotorkannya. Ia juga bertujuan menghindari mereka yang taksub daripada menggunting kain Kiswah ini untuk dijadikan cenderahati atau tujuan sihir.

Warna Kiswah Berubah Mengikut Zaman 

Asal Kiswah bermula dengan Nabi Ismail AS. Pada zaman Rasulullah SAW, datuk baginda, Adnan antara yang pertama membaluti Kaabah dengan Kiswah.

Sebenarnya, tradisi ini sudah pun bermula sejak zaman purba lagi kerana Kaabah adalah pusat ibadah yang penting untuk lebih daripada satu agama-agama Arab lama yang kini sudah pupus.

Asalnya, Kiswah terdapat dalam pelbagai warna dan beberapa jenis kain. Melindungi Kaabah dengan Kiswah dianggap sebagai satu penghormatan dan istimewa. 

Maka terdapat persaingan yang sengit antara kabilah-kabilah Arab bagi menutupi Kaabah dengan Kiswah di zaman jahiliah kerana pengaruh dan kepentingannya.

Semasa zaman Rasulullah SAW, baginda menutupi Kaabah dengan kain Yaman berwarna putih dengan garis merah. Baginda menukarnya dua kali setahun iaitu sebelum Ramadan dan semasa haji.

Semasa zaman pemerintahan khalifah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan, Kiswah adalah berwarna putih. Sedangkan zaman Ibn al-Zubayr, Kiswah berwarna merah. 

Semasa era Kerajaan Abbasiyah pula, Kiswah berselang-seli berwarna merah dan putih. Khalifah al-Nassir menukarnya kepada warna hijau dan kemudian hitam sehingga ke hari ini. 

Kenapa Kiswah Berwarna Hitam?

Memetik laporan Arab News, Pengarah Pusat Sejarah Makkah, Dr Fawaz al-Dahas berkata, “Kaabah pernah dilitupi (Kiswah) dalam warna putih, kadangkala merah atau hitam. Pemilihan warna adalah berdasarkan status kewangan (kerajaan) pada setiap era.”

“Status kewangan yang berubah-ubah menentukan jenis kain (datang dalam warna berbeza) yang digunakan bagi menghasilkan Kiswah,” jelas Dr Fawaz. 

Fabrik Qubati dari Mesir adalah salah satu kain yang terbaik bagi menghasilkan Kiswah. Kain Yaman juga antara yang berkualiti dan paling terkenal. 

Persoalan mengapa warna Kiswah sering berubah, Dr Fawaz berkata warna putih adalah paling terang tetapi ia tidak tahan lama dan tidak praktikal. 

Kiswah berwarna putih selalunya akan menjadi lusuh, mudah kotor dan tidak suci disebabkan ribuan pelawat memegangnya. Kemudian, Kiswah ditukarkan kepada warna hitam dengan kain satin brokat dan shimla.

Akhirnya, warna hitam dikekalkan pada penghujung era pemerintahan Kerajaan Abbasiyah kerana lebih tahan lama dan lasak sekiranya disentuh oleh pelawat dan rombongan haji atau umrah dari seluruh dunia.

Sumber: GETARAN