Sejarah Qunut Nazilah dan Hukumnya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bencana yang menimpa Umat Islam Palestin semakin meresahkan tatkala mendengar rejim Zionis membedil Gaza tanpa serba salah bermula 7 Oktober 2023 dahulu. Ancaman dan pencerobohan yang dilakukan begitu ganas menjadikan 1.4 penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal.

Ramai yang menyamakan bahawa pencerobohan yang tercetus kali ini ibarat mengulangi kembali Peristiwa Nakba yang menghalau seramai lebih 750 000 penduduk Palestin pada tahun 1948. Maka seruan Qunut Nazilah untuk dibaca di dalam solat juga turut dilaungkan kembali sebagai azam untuk membalas kejahatan kepada pihak pelampau.

Apa itu Qunut Nazilah?

Qunut pada asasnya adalah doa. Bacaan qunut terbahagi kepada dua iaitu Qunut Ratibah dan Qunut Nazilah.

Qunut Ratibah, iaitu qunut yang disunatkan untuk membacanya pada dua tempat, iaitu pada Iktidal di dalam rakaat yang kedua solat subuh. Selain itu, pada Iktidal yang terakhir dalam solat sunat Witir bermula pertengahan bulan Ramadhan.

Kedua, Qunut Nazilah iaitu doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya ketika ianya melibatkan orang muslim. Bacaan qunut nazilah, merupakan bacaan yang sering dibaca tatkala berlakunya musibah.

Berdasarkan sirah, Rasulullah SAW pernah membaca doa qunut nazilah ketika mana berlakunya suatu pengkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat Nabi SAW.

Daripada hadis yang diriwayatkan leh Anas bin Malik RA: Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan

Qunut Nazilah hanya dibaca tatkala musibah

Turut dikongsikan oleh Dato’ Dr Zulkifli Al Bakri, mengenai pandangan Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, yang merupakan satu pandangan di sisi mazhab al-Syafie: Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut”.

Sebagai kesimpulannya Qunut Nazilah digalakkan untuk dibaca tatkala berlakunya musibah.

Cara Bacaan Qunut Nazilah

Qunut nazilah disunatkan untuk dibaca secara jelas (Jahar) dan disunatkan untuk mengangkat tangan yang mana ianya dibaca pada rakaat terakhir setelah bangun daripada rukuk. Qunut nazilah hanya dibaca di dalam solat fardhu.

Imam al-Nawawi berkata: “Adapun (Qunut) selain solat Subuh iaitu solat fardhu yang lain, tidak boleh untuk melakukan qunut tanpa ada sebarang hajat. Apabila umat Islam ditimpa satu musibah, maka boleh melakukan qunut dalam semua solat fardhu.”

Hukum Membaca Qunut Nazilah

Dato’ Dr Zulkifli Al-Bakri merumuskan bahawa membaca qunut nazilah ketika umat Islam ditimpa musibah besar yang boleh memudaratkan Islam dan Umat Islam secara keseluruhan seperti diperangi secara nyata atau dikhianati musuh, adalah diharuskan. Bahkan, Qunut Nazilah dihukumkan sunat berdasarkan beberapa riwayat yang telah dinyatakan.

Rujukan:

  1. Bacaan Qunut Nazilah Ketika Musibah