Sejuta dos vaksin dihantar ke Sabah sepanjang Julai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kota Kinabalu: Sabah akan menerima sejuta dos vaksin Covid-19 untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu, sepanjang bulan ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah itu akan diterima secara berperingkat untuk disalurkan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin selaku menteri penyelaras PICK yang menghubungi beliau tengah hari, semalam.

“Khairy memaklumkan kepada saya bahawa Sabah akan menerima bekalan vaksin Covid-19 sebanyak sejuta dos untuk bulan Julai sahaja.

“Pada asalnya jadual penghantaran vaksin pada bulan ini hanya sekitar 700,000 dos tetapi ditingkatkan ke sejuta dos selepas mengambil kira permintaan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Berikutan peningkatan itu, katanya sasaran kerajaan negeri untuk menyuntik 30,000 dos vaksin sehari pada bulan ini dapat direalisasikan.

Katanya, langkah Kerajaan Pusat itu juga dapat memastikan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di Sabah sebelum akhir tahun ini mampu dicapai.

Sumber: My Metro