Sekadar Fenomena Alam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bumi tanah air kita yang beriklim Khatulistiwa bercuacakan panas dan lembab sememangnya seringkali terdedah kepada kejadian banjir pada setiap musim Monson Timur Laut yang kebiasaannya antara November hingga Februari setiap tahun.

Bagi negeri-negeri yang menghadap Laut China Selatan di Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak dahulu lagi sentiasa berhadapan dengan fenomena alam tersebut yang saban tahun terpaksa dilalui.

Negeri-negeri itu adalah ‘negeri tradisi banjir’ sedangkan bagi negeri-negeri lain di Semenanjung seperti di wilayah pantai barat kurang terdedah kepada ancaman fenomena alam banjir.

Sejak kebelakangan ini, tiada sebuah negeri pun yang ‘kebak dan terkecuali’ daripada terkena banjir. Kini, keadaan banjir yang datang secara mengejut menimpa majoriti kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan beberapa buah negeri lain.

Masing-masing diselubungi perasaan takut dan kalut dengan terpaan musibah yang tidak dijangka itu.

Bagi sesetengah pihak mungkin beranggapan bahawa kawasan kediaman mereka duduki sukar atau ‘mustahil’ untuk dilanda banjir, tetapi kali ini sangkaan itu meleset dan membuatkan mereka kebingungan menghadapi musibah luar ramal itu.

Bagi manusia moden hari ini, apabila berlakunya sesuatu kejadian fenomena alam maka teori dan analisis berasaskan kajian geografi, meteorologi dan sebagainya akan diguna pakai untuk membuatkan penganalisasan data bagi membuat kajian pada sebab berlakunya fenomena alam tersebut.

Seharusnya kaedah itu sangat baik dan menepati gaya hidup sebagai manusia yang Allah kurniakan akal dan minda untuk berfikir secara saintifik dan mendalam.

Usah sesekali kita lupa bahawa keasyikan dan keghairahan berfikir tentang asbab musabah berlaku sesuatu musibah alam, seharusnya juga kita meneliti berkenaan sikap kita terhadap Tuhan Yang Maha Pencipta.

Apakah yang telah dan sedang kita ‘persembahkan’ suatu gaya hidup yang benar-benar yang ditunjukkan oleh Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.
Apakah segala ajaran yang terkandung dalam ajaran Baginda SAW telah dan sedang kita amalkan? Atau kita semakin jauh daripada ajarannya ?

Hal itu sewajibnya turut kita kaji dan jadikan bahan sumber rujukan dalam merungkai permasalahan fenomena alam yang sering terjadi dan menimpa diri. Kita kena belajar dan kaji dari hal sejarah hitam yang pernah ditimpakan ke atas kaum Tsamud pada zaman dahulu.

Tetapi anugerah Allah kepada kaum itu yang berupa kemakmuran hidup berasaskan kesuburan tanah dan kesegaran tanaman berserta kebolehan dalam lapangan seni bina tidak disyukuri dengan sebaiknya.

Segala ajaran dan nasihat yang dibawa oleh Nabi yang diutuskan kepada mereka oleh Allah SWT, iaitu Nabi Salleh tidak diendahkan langsung. Lantas, Allah SWT memusnahkan segalanya.

Kaum Tsamud kini hanya tinggal dalam kenangan sejarah berserta tinggalan artifak sahaja. Inilah natijahnya apabila ajaran Nabi dan Rasul diutuskan tidak diambil peduli, yang pasti Allah akan murkai.

Kisah Kaum Tsamud itu Allah SWT rakamkan dalam Surah Saba’, ayat 16:

فَاَعْرَضُوْا فَاَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنٰهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ اُكُلٍ خَمْطٍ وَّاَثْلٍ وَّشَيْءٍ مِّنْ سِدْرٍ قَلِيْلٍ

“Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua-dua kebun mereka, dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl, dan sedikit pohon Sidr”.

Sejarah hitam yang menimpa kaum Tsamud itu seharusnya menjadi pengajaran buat kita yang hidup di akhir zaman ini agar nasib malang kaum tersebut tidak berulang ke atas diri kita dan negara kita.

Walau setinggi mana sekalipun ilmu pengetahuan yang ada pada sesuatu bangsa itu, tetapi seandainya segala ajaran Nabi Muhammad SAW kita ketepikan lantas asyik dalam usaha merebut ganjaran duniawi.

Selama ini sejak dulu lagi, keadaan masjid dan surau di sesuatu kawasan kediaman tertinggal sepi tanpa dipeduli. Berapa ramai antara kita yang mengambil berat untuk bersegera menuju ke rumah Allah, apabila Tok Bilal mengumandang alunan kalimah suci dalam azan solat.

Jika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin pergerakan untuk menghadiri rumah Allah terpaksa dipendamkan sahaja dalam hati lantaran tersekat dengan peraturan demi kemaslahatan awam akibat pandemik Covid-19, tetapi apabila suasana telah diizinkan, keadaan masih sama juga. Masjid dan surau masih ‘kekosongan jawatan’ bagi diisi oleh jemaah.

Ada baiknya kita memikirkan juga musibah yang telah dan sedang berlaku seperti kejadian banjir di luar ramalan itu sebagai satu ‘teguran Allah’ buat kita.

Ingatlah apa yang diluahkan oleh ahli hikmah dahulu, ‘Tuhan sering melontarkan batu-batu kecil’ sebagai peringatan, tetapi jika teguran itu diabaikan, maka ‘Tuhan akan mula melontarkan dengan batu-batu besar.’

Sebagai seorang yang beriman, seharusnya setiap kejadian yang berlaku ada hikmah tersendiri yang mengajak kita untuk dijadikan bahan muhasabah diri.

Dalam kerancakan usaha melihatnya dari kaca mata saintifik, usahalah sekali kita turut ajak diri untuk mengkaji permasalahan rohani yang berkemungkinan selama ini sudah jauh daripada nilai ajaran Nabi.

Kita sewajarnya sentiasa menghayati apa yang telah difirmankan Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 96 yang mana Allah berfirman:

وَلَوْ اَنَّ اَهْلَ الْقُرٰٓى اٰمَنُوْا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكٰتٍ مِّنَ السَّمَاۤءِ وَالْاَرْضِ وَلٰكِنْ كَذَّبُوْا فَاَخَذْنٰهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ

“Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan buka kepada mereka pintu-pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.”

Sumber : Harian Metro