Sekitar Peristiwa Penting Yang Berlaku Pada Bulan Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kita melihat pahit getir perjuangan dakwah yang telah dibawa Baginda SAW. Setiap ujian yang dilalui telah direkodkan dalam sirah agar umat terkemudian dapat mengambil iktibar.

Peperangan demi peperangan yang berlaku pada tarikh-tarikh tertentu yang telah memakan masa beberapa lama dan mengorbankan para syuhada. Wahyu demi wahyu yang diturunkan bagi memberi panduan buat umat Islam sehingga ke hari ini dan ujian demi ujian yang berlaku agar dapat diambil iktibar oleh kita semua.

Ia berlaku bagi membuktikan kepada kita bahawa besarnya pengorbanan umat terdahulu bagi memastikan syiar Islam terus berdiri megah sehingga ke hari ini. Setiap tarikh pasti mempunyai peristiwa-peristiwa bersejarahnya yang tersendiri. Begitu juga dengan Ramadan.

Tahukah anda persitiwa-peristiwa menarik yang berlaku sekitar Ramadan? Ini ialah sekitar sirah yang boleh disingkap dalam bulan Ramadan bagi memperingati perjuangan Baginda:

1.Baginda Beruzlah Di Gua Hirak
Bermula umur 40 tahun, Baginda sentiasa gemar berdiam diri di Gua Hirak sepanjang Ramadan. Diriwayatkan bahawa selama tiga Ramadan berturut-turut Baginda akan ke Gua Hirak untuk menyendiri sehinggalah akhirnya datang Malaikat Jibril untuk menyampaikan wahyu kepadanya.

Dari ‘Aisyah Ummul Mukminin katanya: “Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah SAW ialah mimpi baik sewaktu Baginda tidur. Biasanya mimpi tersebut kelihatan jelas oleh Baginda seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak dari itu, Baginda suka mengasingkan diri ke Gua Hirak. Di situ, Baginda beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. Baginda membawa bekalan yang secukupnya dan apabila habis, Baginda akan kembali kepada Khadijah untuk menambah bekalan lain.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 0003)

2 . Meninggalnya Khadijah Binti Khuwailid
Ibnu Jauzy dalam Talqih Fuhum Ahl al-Atsar (hlm. 7) meriwayatkan bahawa isteri Baginda SAW telah meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun kesepuluh kenabian.

Ada riwayat lain yang mengatakan bahawa beliau meninggal pada tahun ke-11 kenabian tidak lama selepas kematian Abu Talib, bapa saudara Baginda SAW.

Justeru, tahun tersebut merupakan tahun kesedihan buat Baginda SAW kerana kedua-dua tulang belakang dan penyokong jalan dakwah Baginda telah tiada.

3.Turunnya Al-Quran
Bulan Ramadan juga terkenal dengan bulan turunnya Al-Quran. Terdapat beberapa rekod daripada para tafsir dan hadis yang menyebut bahawa Allah juga menurunkan suhuf, iaitu kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadan.

Mafhum: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah. 2:185)

4. Iktikaf Terakhir Rasulullah
Baginda SAW telah beriktikaf di bulan Ramadan tahun kesepuluh Hijrah selama 20 hari. Kebiasaannya, Baginda hanya akan mengambil masa selama sepuluh hari sahaja untuk beriktikaf.

Pada waktu inilah Malaikat Jibril AS telah menguji hafalan Al-Quran Baginda sebanyak dua kali yang juga pada kebiasaannya hanya dilakukan sekali. (Diriwayatkan melalui sahih Bukhari)

Kesimpulannya, kita dapat ketahui banyak kisah yang berlaku dalam bulan Ramadan terhadap Baginda SAW. Dengan ini, sejarah dan kisah yang pernah terjadi boleh diambil untuk dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua.

Sumber: TZKRH.COM