ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mempunyai senarai lengkap termasuk butiran terperinci keseluruhan sekolah daif membabitkan setiap negeri di seluruh Malaysia.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM juga akan memastikan projek pembangunan sekolah daif di seluruh negara akan dilaksanakan secara adil dan saksama termasuk melibatkan Sabah serta Sarawak selain ianya dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Beliau menyatakan ia amat penting bagi menjamin keselamatan pelajar di sekolah agar sentiasa berada dalam keadaan yang selamat serta menerima akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti.
“Kita di KPM memang sudah ada senarai sekolah daif itu melibatkan setiap negeri (di Malaysia) malah kita juga sudah ada perincian secara spesifik sebenarnya berapa skala kedaifan yang melibatkan sekolah daif ini.
“Dari segi penempatan dan bagaimana kita nak mengurus itu semua sudah ada, jadi kita akan buat pengumuman dari segi apa yang disebut berkaitan dengan sekolah daif ini,” katanya.
Fadhlina berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Wakil Sekolah Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di Dewan Mayang Sari, Alor Setar pada Sabtu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan mutu pendidikan negara.
Beliau berkata pendekatan Kerajaan Perpaduan pimpinannya adalah untuk memastikan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan akan diperbaiki bermula dengan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Feb ini.
Menurutnya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah diarah menyenaraikan sekolah daif yang perlu diperbaiki.
Sumber : AWANI