KUCHING – Sektor pelancongan negara kini berhadapan kekurangan kira-kira 15,000 hingga 20,000 orang pekerja, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurutnya anggaran tersebut diperoleh daripada data persatuan-persatuan pelancongan tempatan dan masalah itu bukan hanya dihadapi oleh sektor itu malah melibatkan keseluruhan industri lain dalam negara.
Nancy berkata kerajaan kini sedang berusaha menangani isu tersebut termasuk dengan membawa masuk pekerja dari luar negara.
“Secara rasmi, kementerian saya telah mengemukakan perkara ini (masalah kekurangan pekerja) kepada Kabinet dan kerajaan sebenarnya sudah luluskan untuk membawa pekerja dari luar negara.
“Cuma buat masa ini perkara itu baru diluluskan dan harus melalui beberapa proses, kita perlu tunggu,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penggiat industri pelancongan di sini, hari ini.
Beliau berkata majikan disaran supaya mengambil pekerja tempatan, selain menjangkakan masalah tersebut dapat diselesaikan dalam satu ke dua bulan lagi terutama apabila negara kini sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.
Sementara itu, katanya, bilangan pelancong yang memasuki negara setakat ini telah mencecah lebih 500,000 orang dan beliau yakin angka itu akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini.
Sumber: BERNAMA