Sektor Pertanian, Agromakanan Rugi RM111.95 Juta Akibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Sektor pertanian dan agromakanan mengalami kerugian RM111.95 juta akibat bencana Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, berkata ia meliputi 24,700 hektar kawasan pertanian selain membabitkan 12,000 petani dan penternak serta pengusaha agromakanan di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, bekalan makanan negara tidak terjejas kerana ditampung oleh pengeluaran makanan negeri yang tidak dilanda banjir di Pantai Barat.

“Susulan itu, MAFS menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu mereka yang terjejas termasuk pemberian kit makanan sebanyak 6,700 kit sedia untuk dimasak, 3,000 kit sedia untuk dimakan dan 1,000 kit kebersihan dengan jumlah peruntukan RM1 juta.

“Bantuan lain yang disumbangkan adalah peralatan Industri Asas Tani, input ran peralatan bagi pertanian dan perikanan, jentera mekanisasi dan automasi berskala kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kits Bantuan Bencana Banjir kepada warga MAFS Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiusaha MAFS, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak RM2.45 juta peruntukan disediakan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban dihadapi komuniti agromakanan yang terkesan.

“Kementerian turut menyumbangkan bantuan makanan dan ubat-ubatan ternakan sebanyak RM1 juta melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak yang terkesan bencana,” katanya.

– BERITA HARIAN