Selamatkan 2.7 juta kerja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Putrajaya: Langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan dan insentif ketika negara berdepan kesan ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19 menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan dan memanfaatkan lebih 320,000 majikan.

Pada masa sama, pakej bantuan berkenaan turut mengurangkan impak ekonomi negara untuk terus bertahan dan kekal mampan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Covid-19 mengakibatkan kesan sosioekonomi yang belum pernah dialami oleh Malaysia dengan risiko besar kepada kesihatan awam dan kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) pertama tahun lalu.

Menurutnya, bagi menangani impak ekonomi akibat wabak itu, kerajaan menyusun Strategi 6R, merangkumi enam tahap: Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilient), Menjana Semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform).

“Kerajaan telah melancarkan empat pakej rangsangan tahun lalu merangkumi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM250 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac tahun lalu diikuti oleh Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin masing-masing pada April, Jun dan September.

“Keempat-empat pakej ini, dengan jumlah suntikan fiskal RM55 bilion dan nilai keseluruhan RM305 bilion, mewakili 22 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya pada sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, impak pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan itu membolehkan 2.7 juta pekerjaan diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU).

Katanya, PSU itu juga memanfaatkan lebih 320,000 majikan dengan RM14.4 bilion disalurkan kepada mereka setakat ini.

“Selain itu, menerusi bantuan moratorium automatik selama enam bulan yang mula dilaksanakan pada April lalu membantu aliran tunai seramai 7.7 juta individu dan 243,000 perniagaan menerima manfaatnya membabitkan RM100 bilion.

“Bantuan ini kemudian dilanjutkan kepada bantuan pembayaran balik bersasar yang mana seramai 621,000 individu dan 7,000 perniagaan menerima manfaat membabitkan RM51.5 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan pelbagai jenis inisiatif ini disokong oleh penggunaan data semasa, yang memungkinkan intervensi dan penyelarasan segera untuk memastikan penyampaian berkesan.

“PKP 1.0 mengakibatkan penguncupan KDNK sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020. Namun, hasil tindakan pantas kerajaan, ekonomi kita akhirnya mencatatkan kadar penguncupan yang lebih rendah, iaitu 5.6 peratus bagi tahun 2020.

“Langkah-langkah ini juga membantu menurunkan kadar pengangguran dari 5.3 peratus pada Mei 2020 ke 4.8 peratus pada Disember 2020,” katanya.

Sumber: My Metro