“Mai! Kau kenapa ni? Mai? Bangunlah weh, kau ingat aku ada masa ke nak layan lawak hambar kau ni? Aku kira sampai tiga, kau tak bangun juga aku tampar muka kau. Mana kau nak?”, kata Ika yang masih menganggap kawannya membuat lawak bodohnya seperti selalu. Namun setelah beberapa kali Ika menggerakkan badan Mai, Mai masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sedar dan dahi Mai dipenuhi dengan peluh yang kasar.
“Ucop! Meh sini tolong aku jap! Cuba tengokkan Mai ni asal tiba-tiba macam ni weh. Aku risau lah pula, apa yang aku nak jawab dengan family dia nanti. Masak aku nanti dibuatnya”, kata Ika yang penuh kerisauan.
“Ika…cuba kau bawa bertenang. Okay sekarang aku pergi jumpa abang Mus and cerita kat dia tentang apa yang berlaku kat Mai. Kau duduk sini teman Mai jap, aku pergi panggil budak-budak laki tolong angkat Mai ke Unit Rawatan”, jelas Yusof yang datang menghulurkan bantuan dan cuba menenangkan Ika yang kelihatan kelam kabut.
“Takkanlah aku nak bagi budak-budak laki pula angkat dia. Tak moleklah orang tengok! Tak apalah aku kan ada!”, Ika memarahi Yusof.
“Kau ni kan Ika, otak kau kat mana? Takkan kau nak angkat dia pula. Sah-sah kau tak larat. Tak apa, darurat ni. Keadaan Mai lebih penting.”, jelas Yusof kepada Ika dan akhirnya Ika menurut sahaja apa yang dikatakan oleh Yusof.
Ika masih setia menunggu di luar bilik rawatan bersama Mus iaitu selaku ketua Majlis Perwakilan Pelajar di situ. Sudah hampir 1 jam Mai berada di dalam bilik rawatan namun masih tiada makluman dari pembantu rawatan disitu. Ika mahu masuk tetapi dia takut mengganggu pula. Dengan melihat riak muka Ika yang galau, Mus merasakan dia sepatutnya menggalas tanggungjawabnya dengan membantu Mai lalu dia masuk ke dalam bilik tersebut untuk mengetahui perkembangan Mai. Namun belum sempat dia memegang tombol pintu itu, doktor yang merawat Mai keluar dalam keadaan tergesa-gesa.
“Arghhhh…tolong saya sekejap! Saya dah tak tahu nak minta siapa ni..cepat..cepat!”, kata doktor Rahsid itu dengan panik.
Alangkah sungguh terkejut apabila melihat Mai sudah mencangkung di atas katil pesakit dan bercakap dengan bahasa yang semua orang tidak fahami.
“Mai…kenapa dengan Mai ni? Ni abang Mus datang ni, Ika pun ada ni. Turun ya?”, pujuk Mus namun masih gagal
“Ika! Sini cepat! Tolong abang kejap! Ika!”, jerit Mus memanggil Ika. Dengan pantas Ika segera berada di sebelahnya.
“Ika tolong ambil telefon abang ni, Ika call ustaz Azri suruh dia datang ke sini cepat. Jangan lupa maklumkan ke dia tentang keadaan Mai. Cepat Ika! Mai makin mengganas ni”, kata Mus sambil memegang Ika dan turut dibantu oleh doktor Rahsid disisi Mai.
“Okay…okay…sekejap ya”, jawab Ika.
Setelah menelefon, Ika sepantas kilat pergi ke bilik ustaz Azri untuk membantu mengangkat barang yang diperlukan.
Setelah hampir 15 minit, Ika muncul bersama ustaz Azri disisi. Lalu ustaz Azri terus mengarahkan Mus dan doktor Rahsid untuk membantunya meletakkan Mai di wheelchair dan mengikat kaki dan tangan supaya tidak meronta dan memudahkan urusan ustaz Azri memulakan rawatan ruqiahnya. Mus dan doktor Rashid hanya menurut perintah dan turut sama-sama membantu. Setelah hampir setengah jam ustaz Azri membaca ayat-ayat suci al-Quran, akhirnya Mai lemah dan pengsan.
“Huish kuat juga ya ‘benda’ yang melawan ni. Saya hampir putus asa tadi sebab tenaga saya hampir habis dibuatnya! Okay sekarang ni biar dia baring kat atas katil tu. Tapi saya akan ikat kaki dan tangan dia, mana tahu kalau benda ni terjadi lagi”, kata ustaz Azri yang sudah kepenatan.
“Sekarang ni kamu, ambil air ni sapu ke seluruh muka, tangan dan kaki dia. Kalau dia dah sedar nanti suruh dia minum air ni sebanyak yang boleh. Faham?”, arahnya kepada Ika.
“Baik ustaz”, jawab Ika.
“Dia dah okay ke ustaz?”, tanya Mus risau setelah dia melihat kejadian sebentar tadi.
“Okay saya berterus teranglah ya. Saya rasa kamu sebagai MPP, kamu kena bertindak sekarang. Pergi ke Hal Ehwal Pelajar sekarang untuk hubungi keluarga pelajar ni untuk segera membawa anaknya pulang. Dengan segera ya, kalau boleh hari ni juga”, jelas ustaz Azri.
“Kiranya Mai belum lagi pulih?”
“Ya, lebih kurung begitulah. Saya hanya menolong setakat mana yang saya mampu sahaja. Saya tidak berada arif sangat tentang hal ini. Tapi untuk dia pulih sepenuhnya, dia perlu mendapatkan rawatan ruqiah yang mampu merawatnya kerana saya merasakan ‘benda’ tu sangat kuat. Jadi saya harap sangat awak dapat maklumkan hal ini juga kat pihak HEP untuk beritahu keluarga dia supaya mereka bertindak segera sebelum Mai semakin teruk.”, jelas ustaz Azri memberi penjelasan.
Haji Ahmad sungguh terkejut setelah dia dimaklumkan mengenai hal anaknya. Hatinya pada ketika itu sungguh hiba dan risau. Dengan pantas dia mengajak anak lelakinya, Salleh untuk membawanya ke sana. Sepanjang perjalanan fikiran Haji Ahmad memikirkan angkara siapa yang melakukan perkara terkutuk ini kepada anaknya, sungguh dia tidak sangka perkara ini terjadi kepada anaknya.
Setelah mendengar penjelasan, Haji Ahmad mengerti dan segera membawa Mai pulang ke rumah mereka di Muar, Johor. Dalam perjalanan yang jauh dari Kelantan ke Johor, beberapa kali jugalah Mai meracau-racau dan diwaktu itulah suara Haji Ahmad bergema melaungkan ayat Kursi dengan lantang. Sepanjang perjalanan, abangnya Salleh juga membuka ayat-ayat suci Al-Quran. Haji Ahmad bersyukur kerana pihak universiti memberi pelepasan kepada anaknya selama sebulan untuk mendapatkan rawatan.
Sudah hampir sebulan masa berlalu Mai di kampung, tiba-tiba pada waktu senja Mai berkelakuan aneh dengan mencederakan lengannya sendiri dengan gunting di dapur namun disedari oleh kakaknya, Ros.
“Allahuakhbar Mai, kau dah kenapa ni Mai! Dah gila ke?”, jerit Ros.
“Tepi kau perempuan gemuk!”, balas Mai dengan nada yang garau seperti lelaki.
Kejadian itu juga dilihat seluruh ahli keluarganya dan turut membantu Mai dari terus berkelakuan begitu. Haji Ahmad bertungkus-lumus membaca segala ayat suci al-Quran dan melaungkan azan, akhirnya Mai rebah ke lantai dengan lemah selepas dia bertindak ganas dan keadaan dapur yang sungguh bersepah akibat tindakannya itu.
Keesokan harinya tiba-tiba Mai jatuh di dalam bilik tidur dan ketika itulah Haji Ahmad yang kelihatan panik terus membuat keputusan untuk menghantar anaknya ke hospital memandangkan Mai tidak sedarkan diri terlalu lama.
“Ros! Ros! Ambil kunci kereta abah! Cepat!”, jerit Haji Ahmad lalu memejut keretanya ke hospital.
Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan yang anaknya menghidap penyakit jantung berlubang. Alangkah sedihnya Haji Ahmad ketika itu. Terkaku dia di atas lantai setelah mendengar khabar itu. Doktor menyarankan agar untuk melakukan pembedahan dengan segera dan ianya memerlukan kos pembedahan yang tinggi. Haji Ahmad bingung dari mana dia mahu mencari duit sebanyak itu.
“Abah! Takkanlah si Mai ni ada penyakit jantung berlubang! Abah bayangkanlah dia sihat je selama ni, bersukan sana sini. Mai ni lasak orangnya. Cuma sejak dari peristiwa dia kat universiti tu membuatkan dia semakin teruk! Salleh rasa Mai ni kena ‘buatan orang’ tak pun ada ‘benda’ yang duduk kat dalam badan dia ni! Mana tahu dapat dari kat tempat belajar dia tu! Bawalah dia pergi berubat bah!”, kata Salleh kepada Haji Ahmad yang degil itu.
“Eh kau ni, aku bagi pelempang aku baru kau tahu! Tutup mulut kau! Cakap tu pakai otak sikit! Dah doktor beritahu macam tu takkanlah dia tipu pula”, jawab Haji Ahmad yang degil itu.
“Memanglah bah, mungkin betul juga apa dikatakan doktor tu…tapi tak salahkan kita cuba ikhtiar cara lain. Takkanlah orang ada penyakit jantung berlubang boleh meracau-racau, cakap sorang-sorang…lepas tu cakap benda yang kita tak faham langsung! Bukan sekali dua bah tapi kerap juga kan Mai macam tu. Baik abah fikir baik-baik. Salleh cuma nasihat je”
“Ye betul tu abahnya! Tak apa kita cuba dulu, lagipun nak buat pembedahan tu pun perlukan kos yang banyak, kita mana ada wang sebanyak tu. Jadi buat masa sekarang kita cuba dulu, jumpa mana-mana ustaz yang pandai ubatkan orang”, pujuk isterinya Hajah Fatimah.
“Yelah….”, balas Haji Ahmad akhirnya menurut juga.
Selesai berjumpa dengan seorang kenalan Haji Ahmad yang merupakan seorang ustaz yang terkenal di kawasan itu, dia memberitahu kepada Haji Ahmad dan Hajah Fatimah dengan teratur dan lembut tentang perkara yang terjadi kepada Mai.
“Baiklah..apa yang saya dapat dan rasakan setelah saya merawat anak Tuan Haji dan Puan Hajah, sebenarnya anak Tuan Haji dan Puan Hajah terkena ‘buatan orang’. Senang cerita dia terkena sihir. Apa yang saya dengar dari Puan Hajah ceritakan tadi.yang Mai kerap kali meracau, menangis dan bercakap dengan seseorang tetapi menggunakan bahasa yang sendri tak faham, betulkan? Sebenarnya ini semua ada kaitan dengan sihir yang dihantar di mana pemberi itu mahu dia kelihatan seperti orang gila”. kata ustaz dengan jelas sambil melihat Mai terbaring atas sejadah.
“Ya Allah anak kita bah! Sampai hati orang tu buat anak kita macam ni abahnya…”, Puan Hajah menangis teresak-esak mengenang nasib anaknya.
“Ustaz, boleh kami tahu siapa yang orang tu? Geram betul saya ni!”, kata Haji Ahmad dengan panas barannya.
“Tuan Haji, tak baik buat begitu…semua ini pasti ada asbab dan munasababnya. Tadi saya ada juga usaha nak melihat angkara siapa semua ini namun apa yang saya lihat adalah kabur. Tak apa Tuan Haji, Puan Hajah…saya akan cuba bantu mana yang saya mampu.”, jawab ustaz itu.
Selepas hampir 3 bulan selepas menerima rawatan secara kerap, Mai kelihatan seperti biasa. Mai dengan mulut yang ramah, suka dengan aktiviti lasak, suka bawa motosikal, semuanya itu sudah kembali seperti biasa. Namun mereka sekeluarga menerima berita sedih bahawa ustaz yang merawat Mai sudah meninggal dunia. Sungguh mereka tidak sangka bahawa ustaz yang masih muda dan kuat orangnya sudah pergi dengan mengejut.
Selepas beberapa tahun telah berlalu, Hajah Fatimah pula diserang dengan penyakit misteri dan begitu juga anaknya, Ros. Mereka bersilih ganti diganggu. Mereka tidak meracau, ketawa secara tiba-tiba dan seolah-olah bercakap dengan seseorang seperti yang dialami oleh Mai tetapi ibunya,
“Ros…Mak tak tahulah kenapa perut mak ni selalu sangat sakit. Rasa macam ngilu, tercucuk-cucuk…sakit sangat kenapa ya agaknya Ros”, tanya Hajah Fatimah.
“Perut mak masuk angin ni! Tak apa nanti Ros buatkan air halia. Nanti buanglah sikit angin tu.”, jawanb Ros.
Namun, perut Hajah Fatimah semakin mengeras dan membuncit. Suaminya yang mahir dalam perubatan tradisional namun tidak terlalu arif, memegang perut isterinya sambil membaca ayat-ayat suci dan secara tiba-tiba perut Hajah Fatimah semakin membuncit seperti belon yang mahu meletup. Perutnya membuncit dan mengempis, kejadian ini berlaku dengan kerap.
Bukan dia sahaja, anaknya juga terkena gangguan mistik dimana dikala keluarga mereka dilanda musibah, namun mereka sekeluarga telah menerima berita baik selepas dimaklumkan bahawa ada orang mahu datang meminang Ros. Namun setelah kunjungan tiba, semuanya mahu segera pulang dan membatalkan niat mereka dan mengatakan muka Ros seperti nenek tua.
“Dah jom kita balik! Dia ni yang kau minat! Muka macam perempuan tua! Bau busuk! Muka penuh cacing! Ada hati nak jadi menantu aku!”
Bukan sekali atau dua kali, tetapi terlalu banyak pinangan yang terbatal begitu sahaja.
Akhirnya pada waktu tengah malam Haji Ahmad membawa mereka pergi berubat di Rompin, Pahang bersama abangnya, Syukor setelah pergi banyak tempat tapi semuanya gagal. Semasa dalam perjalanan mereka ke sana, mereka diganggu (sangkak) dengan pelbagai ujian dimana tiba-tiba sahaja seekor angsa berada ditengah-tengah jalan meskipun ketika itu jalan dikelilingi kelapa sawit dan membuatkan mereka semakin pelik dan tertanya-tanya. Bukan itu sahaja mereka juga diganggu apabila tiba-tiba pokok tumbang ditengah jalan walaupun cuaca pada ketika itu tidak ribut mahupun hujan.
“Allah! Terkejut aku dibuatnya!”, jerit Syukor lalu menghentikan keretannya dengan mengejut setelah dia melihat tiba-tiba sahaja seekor angsa melihat dihadapan keretanya.
“Allah!”, jerit Haji Ahmad, Hajah Fatimah dan Ros serentak dengan Syukor.
“Peliknya Bah! Mana datang angsa ni bah! Kiri, kanan kelapa sawit kot!”, bebel Syukor.
“Jangan banyak bunyi Kor…jalan je”, kata Haji Ahmad sambil mulutnya terkumang-kamit membaca sesuatu.
Akhirnya mereka meneruskan perjalanan namun tiba-tiba mereka diuji sekali lagi apabila tiba-tiba ada sebatang pokok besar tumbang di tengah-tengah jalan seolah-olah perjalanan mereka ke sana dihalang.
“Allahhuakhbar…Allahuakhbar…A’syahduallaillaaillallah…”, Haji Ahmad terus melaungkan azan sekuat-kuat hatinya. Akhirnya pokok itu terus lenyap.
Setelah tiba di rumah perubat iaitu yang lebih dikenali dengan Mad Rompin, dia memandang dengan renungan yang sangat tajam dan mulutnya terkumang-kamit seolah-olah membaca sesuatu.
“Tunggu! Jangan masuk! Berdiri disitu dulu, nanti sebelum masuk, kamu semua basuh kaki dan tangan kamu dengan air tempayan disitu”, tahan Mad Rompin sambil mulutnya terkumang-kamit.
Selepas itu barulah mereka diperlawa masuk ke rumah dan mereka berbual-bual sambil bercerita mengenai tujuan dan keadaan mereka. Selepas solat maghrib, bermulalah sesi rawatan yang dimulakan dengan Hajah Fatimah dahulu. Hajah Fatimah disuruh agar duduk menghadap kiblat dan dibaca dengan ayat-ayat suci al-Quran. Selepas selesai sesi rawatan, Mad Rompin memberinya untuk minuman yang sudah dibacanya untuk diminum dan menghulur beberapa biji buah limau nipis untuk dibuat mandi.
“Maknya…nanti kamu teman si Hajah ni mandi air ni dengan limau ya! Buat sampai habis seperti selalu”, jerit Mad Rompin kepada isterinya yang sedang mengiringi Hajah Fatimah ke tandas luar rumahnya.
Manakala Ros juga sama cara rawatannya seperti ibunya cuma perbezaannya dia perlu mandi bersama dengan 9 jenis bunga bersama buah limau nipis memandangkan pada malam itu adalah malam purnama. Setelah habis sesi perawatan, mereka dipelawa untuk makan dan selesai sahaja makan Encik Mad Rompin mula bercerita keadaan yang sebenar kepada mereka.
Semasa kedatangan mereka, Mad Rompin melihat Ros kelihatan diduduki hantu di atas bahunya sementara ibunya pula dilihat seperti sangat besar seperti ada jin dibadannya dan kerana itulah mulut Encik Mad Rompin terkumang-kamit membaca dan barulah mereka dibenarkan untuk masuk. Mad Rompin memberitahu bahawa Ros sebenarnya terkena pelalau (menghalang jodoh) dan hanya diberi sebagai tempias sahaja namun jika tidak diubati boleh menyebabkan Ros tidak dapat peluang untuk hidup berumahtangga seumur hidupnya dan ketika itu Ros sudah berusia 27 tahun. Sementara Mad Rompin tidak dapat melihat apa yang mengganggu Hajah Fatimah kerana matanya telah ditutupi dan disebabkan itu Encik Mad Rompin menyuruh agar Hajah Fatimah untuk mandi air limau yang sudah dibacanya dengan ayat suci al-Quran. Setelah itu barulah Encik Mad Rompin mengetahui bahawa gangguan yang dihadapi mereka sebenarnya ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa yang maknanya ada kaitan dengan keluarga.
“Apa yang boleh saya katakan Haji…gangguan yang dihadapi oleh Hajah dan anaknya ini ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa. Pesan saya…tindakan Haji sekarang ni bagus, tapi Haji perlu sentiasa berwaspada dengan orang sekeliling termasuk lah keluarga kita sendiri. Kata-kata ibarat pedang, jika tersilap kata buruk padanya.”, kata Mad Rompin dengan mendalam.
Selama ini mereka tidak tahu angkara siapa semua perkara mistik ini terjadi namun setelah mendengar penjelasan dari Mad Rompin, mereka sudah jelas mengenai itu. Barulah Haji Ahmad perasan bahawa selama ini dia bercerita mengenai masalah mereka dengan saudara sebelahnya. Maka terjawablah siapa dalang kepada penyakit mereka.
“Tak sangka aku Mah! Sanggup dia buat macam tu kat keluarga aku. Kesian kau..kesian anak-anak kita…”, kata Haji Ahmad dengan sedihnya kepada isterinya.
“Tak apa abahnya, saya redho…semua ni pasti ada hikmahnya. Tak apa saya sanggup sakit untuk anak-anak saya. Saya sanggup sakit untuk suami saya. Saya sanggup menjadi galang ganti dari keluarga kita porak-peranda.”, balas Hajah Fatimah yang teresak-esak.
Selepas beberapa minggu, Ros pulih seperti biasa namun selepas kepulangan Haji Ahmad dari umrah, keadaan Hajah Fatimah semakin serius. Rawatan dengan Mad Rompin sudah lama tidak mereka pergi kerana mereka menghadapi sedikit masalah dan kekangan kerana ketiadaan Haji Ahmad disamping. Sepatutnya pada hari Khamis malam Jumaat, Haji Ahmad ingin menjemput Encik Saiful iaitu sahabatnya yang dikenali dari umrah untuk merawat isterinya namun hajat tidak kesampaian apabila Hajah Fatimah telah menghembuskan nafas terakhir pada malam itu juga.
“Mak…jom Ros mandikan mak ya. Kejap lagi kawan abah nak datang, ubat mak. Kita mandi dulu ya?”, tanya Ros lembut. Sayu melihat keadaan maknya yang kini tidak mampu berdiri kerana perutnya semakin mengeras.
“Nantilah Ros…mak teringan nak makan buah epal lah. Kupaskan untuk mak ya”
“Mak nak makan buah ni, gigi palsu mak dah pakai?”
“Dah…Ni hah”, sambil menganga kepada anaknya sambil tangan mencubit lengan Ros.
“Cepatlah! Mak teringin sangat ni”
“Yela…nanti lepas mak dah makan, jangan lupa mak tanggalkan gigi palsu tu! Ros dah cuci bagi bersih. Hihi”, kata Ros sambil menghulur sebekas berisi epal.
“Mak…Ros nak pergi sediakan makanan sekejap, takut nanti bila kawan abah dah sampai terkejar-kejar pula dibuatnya.” sambungnya lagi.
Namun selepas Ros mendapatkan mak kembali untuk dimandikan, Hajah Fatimah tidak menggerakkan badannya. Badannya terkaku di atas kerusi roda. Badannya masih panas dan tangannya masih memegang tasbih.
“Mak…sampai hati mak buat macam ni kat Ros. Kejap lagikan mak nak berubat. Mak…bangunlah!”, jerit Ros yang masih tidak percaya maknya sudah tiada.
Selepas urusan pengebumian, mereka sekeluarga diberitahu oleh Encik Saiful bahawa Hajah Fatimah sebenarnya terkena sihir iaitu ‘busung katak’ dan sepatutnya pada malam itu, Encik Saiful mahu datang mengambil ‘barang’ yang ditanam di dalam perut Hajah Fatimah. Mereka semua sangat terkilan mengenai hal tersebut kerana mereka tidak sempat merawat Hajah Fatimah setelah hampir 3 tahun mereka berusaha dan berhabis wang ringgit, tenaga, masa dan sanggup menjual tanah kebun mereka.
“Apa yang boleh saya katakan pada pak Mad sekeluarga, bertabah, jangan berdendam. Biar sahaja yang menghukum dia. saya faham apa yang pak Mad sekeluarga rasa. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Saya tahu saya bukan sesiapa, saya hanya orang luar tapi saya berharap sangat buang sifat dendam dan sakit hati tu. InsyaAllah Tuhan tu Maha kaya, Maha melihat dan Maha mengetahui. Itu urusan dia dengan Tuhan. Saya yakin dengan bukti ‘barang’ yang masih ada di dalam perut arwah menjadi satu bukti kepadanya untuk menghukum perbuatan si dia di padang mahsyar kelak.”, pesan Encik Saiful sebelum pulang.
“InsyaAllah sahabat!InsyaAllah!”, balas Haji Ahmad sambil saling berpelukan.
Sebelum pengebumian.
“Abah! Abah! Mai kena rasuk! Cepatlah bah!”, jerit Ros dari bilik.
“Apa pula tu…aku ni nak jaga jenazah mak kau tu, tak elok dibiar tak ada siapa jaga!”
“Cepatlah bah! Dia nama abah ni!”
“Salleh! Syukor! Kau tolong Ros tu kejap bawa Mai ke sini! Senang aku nak lihat kalau sesuatu terjadi.
Setelah Mai dirasuk, semua perkara yang sudah terbongkar.
“Kau orang tua! Mari sini! Duduk depan aku!”, kata ‘benda yang merasuki Mai’.
“Kau tahu sebab apa bini kau ni mati?! Anak-anak kau sakit?! Kau tahu tak bodoh?! Semuanya berpunca dari KAU! Mulut kau tu! Bila bercakap langsung tidak fikir perasaan orang lain. Main sembur saja! Sifat kau yang menunjuk-nunjuk tidak semua orang suka. Apa kau fikir hanya kau saja yang punya anak yang ramai? Hidup senang? Anak cantik-cantik? Semuanya berpunca dari sikap kau AHMAD! Puihh”, katanya laki dan meludah di atas kepala Haji Ahmad.
“Mesti kau tertanya-tanya bukan, siapa orang yang kau perlakukan sebegitu? Siapa? Siapa lagi kalau bukan pendengar setia cerita kehidupan kau, Akib Azali!”
Akhirnya terjawab selama ini penyakit yang dialami oleh Mai, Hajah Fatimah dan Ros yang berpunca dari sifat cemburu, iri hati, sakit hati dan marah terhadap Haji Ahmad sekeluarga iaitu dalang terhadap perkara terkutuk ini oleh Mohd Akib yang merupakan suami kepada Kamisah merangkap anak saudara Haji Ahmad.
“Mah, aku sedih Mah…aku tak sangka kau dan anak-anak sengsara disebabkan kelakuan aku…kalau aku tahu mahu terjadi begini, pasti aku ikut katamu Mah. Sudah banyak kali kau tegur aku supaya berubah, tapi aku tetap berdegil. Mah! Aku minta maaf Mah. Aku tak sangka orang yang selama ni aku percaya, sayang, sanjung dan hormat, dialah yang merosakkan cerita kita sekeluarga. Selama ini aku bodoh Mah! Aku ceritakan segala-galanya kepada dia termasuk lah musibah kita sekeluarga terima. Aku tak sangka Mah! Aku tak sangka! Aku menyesal cerita semuanya kat dia! Maafkan abang Mah!”katanya dengan sedih sambil mengusap batu nisan isterinya yang sudah mula berlumut.