PASIR MAS: Taktik membawa lembu seludup seawal 2 pagi bagi mengaburi mata pihak mata pihak berkuasa gagal apabila tindakan berkenaan dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Jalan Perumahan Prima Lubok Jong, di sini, hari ini.
Susulan itu, PGA7 merampas 28 lembu bernilai RM282,240 yang dipercayai dibawa secara haram dari negara jiran, Thailand, untuk pasaran tempatan.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika kejadian, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah lori berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota menahan lori berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan pemandu lori berusia 21 tahun tetapi tidak menemui sebarang barangan yang salah.
“Pemeriksaan diteruskan ke atas lori terbabit dan menemui kesemua lembu berkenaan. Anggota meminta dokumen perjalanan yang lengkap, namun pemandu gagal mengemukakannya.
“Kesemua haiwan ternakan serta lori dirampas, manakala suspek yang berasal dari Kampung Repek, di sini, ditahan untuk dibawa ke ibu pejabat polis daerah bagi siasatan lanjut,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.
Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan kes itu turut diserahkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Kelantan.
Sumber: Harian Metro