Semalam Menang Perak, Hari Ini Nur Amirul Raih Emas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PHNOM PENH:  Nur Amirul Fakhruddin Mazuki menebus kegagalan memenangi perlumbaan kriterium semalam apabila membawa pulang pingat emas dalam saingan lebuh raya individu lelaki Sukan SEA 2023 di Siem Reap, Kemboja hari ini.

Biarpun sudah menginjak usia 31 tahun, dia masih mampu mempamer kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan sejauh 150.6 kilometer (km) dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.

Nur Amirul mengetepikan pelumba Indonesia, Indonesia Aiman Cahyadi dan Ronald Oranza dari Filipina yang mencatat masa sama, namun kemenangan ditentukan menerusi photo finish.

Kelmarin, Nur Amirul terlepas emas juga menerusi photo finish untuk membawa pulang pingat perak dalam kriterium lelaki yang dimenangi Terry Yudha Kusuma dari Indonesia.

Menurut Nur Amirul, pengorbanannya meninggalkan isteri dan dua anak berusia satu dan lima tahun untuk menyertai kem latihan ternyata berbaloi apabila berjaya merangkul dua pingat untuk negara.

“Apa yang boleh saya katakan kejayaan ini adalah kerjasama berpasukan yang sentiasa komited dalam mengekalkan kayuhan hingga ke garisan penamat.

“Saya melakukan persiapan rapi untuk bersaing di Sukan SEA Kemboja termasuklah memastikan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik kerana saingan daripada peserta lain cukup hebat.

“Cabaran utama adalah meninggalkan ahli keluarga terutama anak yang masih kecil demi melakukan persiapan rapi sebelum ke Kemboja” katanya, yang membuat penampilan ketiga Sukan SEA.

Kemenangan Nur Amirul juga membolehkan Malaysia mempertahankan acara lebuh raya individu lelaki yang dimenangi oleh Nur Aiman Mohd. Zariff di Vietnam, tahun lau. 

Sumber: UTUSAN