Lipis: Seekor ular sawa seberat 100 kilogram sepanjang enam meter ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis di Taman Sri Tempoyang, di sini.
Pegawai APM Lipis, Mohd Azhar Yusof berkata, reptilia itu ditangkap selepas pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk pada jam 6.13 pagi.
Katanya, empat anggota bergegas ke tempat bagi menangkap reptilia terbabit dan sebaik tiba, ular sawa terbabit didapati berada di dalam bangsal.
“Dengan menggunakan peralatan khas, kami berjaya menangkap reptilia itu dalam tempoh sembilan minit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebelum kejadian, ular sawa seberat 100 kilogram sepanjang enam meter itu dikatakan membelit seekor babi sebelum haiwan terbabit berjaya melepaskan diri.
Katanya, penduduk terbabit terdengar bunyi bising dan terkejut apabila melihat seekor ular sawa sebelum menghubungi APM.
“Reptilia terbabit itu kemudiannya dilepaskan di kawasan yang tidak berpenghuni,” katanya.
Sumber: My Metro