Sembilan Pelajar Tingkatan Empat Tidak Mengaku Belasah Tiga Junior

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI – Sembilan pelajar mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan tiga pelajar junior di sebuah asrama dalam kejadian pada 23 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh berusia 16 tahun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Berdasarkan tuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan secara menumbuk dan menyepak ketiga-tiga mangsa yang berusia 15 tahun di asrama sekolah terbabit kira-kira jam 11.30 malam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau Kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Akmal Wahidah Abd Halim, manakala pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azahani Azman.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, kesemua tertuduh dikenakan jaminan di antara RM2,000 hingga RM5,500 sebelum majistret menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga pelajar cedera akibat dipukul selepas mengadukan perbuatan sekumpulan pelajar senior yang memiliki rokok elektronik.

Kejadian itu menyebabkan seorang mangsa berusia 15 tahun mengelami kecederaan pada gegendang telinga dan lebam pada bahagian badan manakala dua rakannya hanya cedera ringan.

Sumber : BERITA HARIAN