Sembilan runner dikompaun tidak pakai pelitup muka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Arau: Sembilan pekerja penghantar barang di sebuah premis perniagaan di Jejawi, di sini, hari ini dikenakan kompaun selepas mereka didapati tidak memakai pelitup muka, kata Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof.

Beliau yang mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu berkata, sepasukan anggota pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Arau melakukan pemeriksaan terhadap pekerja penghantar barang di Jejawi, Arau pada 1.30 tengah hari tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan daripada 40 pekerja tidak memakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Nanda berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas mengeluarkan kompaun RM1,500 terhadap sembilan pekerja penghantar barang berusia 20 hingga 30 tahun itu, dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19.

Kompaun itu katanya, dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Sumber: My Metro