Semua Aktiviti Pembalakan Di Kelantan Miliki Lesen Sah – MB Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menafikan dakwaan mengatakan aktiviti pembalakan dilakukan secara rakus di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian di Kuala Krai.

Sebaliknya, beliau berkata, ia mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), bahkan semua aktiviti pembalakan di negeri itu memiliki lesen yang sah.

“Sekarang ini adalah tempoh untuk pemindahan balak yang sudah ditebang yang turut diluluskan Jabatan Perhutanan Negeri.

“Sebenarnya isu video tular baru-baru ini mungkin tindakan sesetengah pihak yang sengaja membuat andaian sendiri, sedangkan lesen sudah pun diluluskan untuk ia dijalankan secara sah,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan di Dewan Utama Apam Putra, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu ditularkan seorang aktivis yang berkongsi puluhan gambar dan rakaman video hasil tinjauannya di kawasan HSK yang musnah ditarah.

Pendedahan menerusi Facebook menggunakan gelaran Pauh Putititu turut mendakwa kawasan HSK itu rakus diteroka untuk tujuan projek ladang hutan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kerajaan negeri memberi jaminan mempercepatkan proses projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok bagi menangani masalah banjir.

“Kita lihat impak yang berlaku daripada projek berkenaan menyebabkan banjir agak besar di sesetengah kawasan, justeru pelbagai usaha dilakukan bagi mempercepatkan projek supaya situasi sama tidak berulang lagi, terutama membabitkan masalah banjir termenung.

“Projek PLSB masih belum siap sepenuhnya tetapi kerajaan (negeri) sentiasa mendapatkan maklumat semasa daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.

Sumber: My Metro