KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menjadi individu pertama di negeri ini yang berjaya disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.
Dr Samsuri berkata, proses pemvaksinan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesukaran.
“Semut gigit lagi sakit, jarum pun tidak ada apa-apa kesukaran, tidak ada rasa pening-pening semasa melalui rawatan tersebut.
“Oleh itu, saya seru semua rakyat supaya tidak perlu takut dan teruja menanti saat giliran masing-masing,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Dr Samsuri menerima suntikan pada jam 4.05 petang oleh jurusuntik, Sujanah Muhimin yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan HSNZ.
Suntikan itu sebagai tanda simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Selain Menteri Besar, turut menerima suntikan vaksin ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Suntikan ke atas individu-individu berkenaan dibuat sempena pelancaran Program Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu Dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kelmarin.
Majlis diakhiri dengan menandatangani perasmian program tersebut di peringkat negeri kemudian kesemua penerima dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan.
Sumber: TRDI News