Senegal Juara Piala Negara-Negara Afrika

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

YAOUNDE – Sadio Mane meledak gol kemenangan dalam penentuan penalti ketika Senegal meraih gelaran pertama Piala Negara-Negara Afrika menerusi kemenangan 4-2 mengatasi juara tujuh kali, Mesir selepas seri 0-0 di Yaounde sebentar tadi.

Mane sebelum itu gagal menyempurnakan penalti pada awal permainan tetapi mencipta sejarah buat negara barat Afrika itu dan memadam memori kegagalan pada final 2019 kepada Algeria.

Penjaga gol, Edouard Mendy menyelamatkan cubaan Mohanad Lasheen pada penentuan penalti itu bagi memberikan Mane peluang mencipta kemenangan buat Senegal, yang nyata lebih baik pada final itu namun terlepas banyak peluang untuk mencipta kemenangan awal.

Mesir perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Mohamed Abo Gabal kerana mampu sampai ke penentuan penalti dekat Stade d’Olembe apabila dia cemerlang menyekat Senegal yang juga aksi keempat pasukan itu dalam tambahan masa.

Ia juga satu kejayaan buat jurulatih Senegal, Aliou Cisse, yang menjadi kapten skuad itu pada 2002 apabila mereka tewas pada final menerusi penalti di tangan Cameroon selepas seri tanpa jaringan.

Mesir yang perlu melalui perlawanan itu tanpa jurulatih, Carlos Queiroz yang digantung, berjuang untuk mencari kemenangan namun gagal mendapat peluang dengan tonggak mereka, Mohamed Salah gagal menyerlah.

Sumber: BERITA HARIAN