‘Senjata’ Skuad Hoki Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kehadiran tiga tonggak remaja kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Syarman Mat Tee dan Mohd Abid Suffian Mat Ruslee bakal menjadi ‘senjata’ buat pasukan hoki lelaki Terengganu untuk memburu pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatihnya, Mohd Faizal Ismail yang berkeyakinan kehadiran tiga tonggak itu bakal menjadi nadi utama pasukan.

Katanya, kehadiran tiga pemain berbakat besar itu juga diyakini mampu menyuntik semangat pemain lain ketika beraksi dalam temasya terbesar dalam negara itu.

“Sasaran pingat emas kita berdasarkan kekuatan yang ada dalam pasukan, kehadiran tiga pemain berpengalaman itu bakal menambah lagi sengat pasukan.

“Sasaran emas itu juga berdasarkan prestasi semasa dan tentangan sengit diberikan kepada pasukan pilihan ketika aksi persahabatan bertemu pasukan pilihan iaitu Pahang, Perak dan Johor.

“Kita harap impian kali ini untuk merangkul juara tercapai selepas gagal melakukannya di Perak pada 2018 selepas terkandas di peringkat kumpulan,” katanya ketika ditemui di Bytes Cafe Duyong Marina Resort, dekat sini.

Sementara itu, jurulatih pasukan wanita, Mohd Shahrun Nabil Abdullah berkata, beliau tidak mahu meletakkan sasaran pingat memandangkan purata skuadnya dibarisi pemain kurang berpengalaman.

“Sasaran awal sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir kerana sasaran utama kita adalah 2024, tapi kita hadir kali ini bukannya untuk ‘makan angin’, tapi kita mahu aksi terbaik,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN