Kehidupan setiap insan di dunia ini sudah tentu mempunyai warna warni kehidupan tersendiri. Ini kerana tidak ada insan yang hidupnya dihiasi dengan kegembiraan sepanjang masa kerana pastinya ada hari yang lain dia perlu melalui detik kesedihan, kemurungan dan kegelisahan.
Sebagai manusia yang hidup di atas bumi memang menjadi lumrah kehidupan insan diwarnai dengan suka dan duka. Namun, segalanya terpulang kepada pilihan diri untuk menangani apa sahaja suasana dengan penuh kesabaran.
Namun, ada insan yang menikmati kehidupan penuh kegembiraan dalam hidupnya, dia terus bersyukur dan panjatkan doa kepada Ilahi atas kenikmatan yang diberikan. Beliau juga turut berusaha menggembirakan hati orang lain kerana dirinya sedang merasai nikmat daripada Allah SWT.
Dari sudut pandang yang lain, ada juga insan yang diberikan ujian kehidupan oleh Allah SWT. Ada insan yang sedang dihimpit masalah kewangan hingga sukar untuk makan dan minum seperti insan biasa yang lain. Ada pula yang diberi ujian masalah rumah tangga yang tidak berkesudahan seolah-olah tiada lagi jalan keluar untuk menyelamatkan keluarga. Bagi pelajar pula, mungkin ada yang sedang menanggung kesedihan kerana gagal dalam peperiksaan dan sebagainya.
Baru-baru ini ada orang yang rumahnya musnah dilanda banjir besar. Segala harta benda musnah dihanyutkan air sedangkan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Lebih menyayat hati, ada keluarga yang kehilangan orang kesayangan kerana ujian wabak Covid-19. Semuanya ujian dalam kehidupan dan tiada siapa yang dapat lari sekiranya ia telah ditakdirkan oleh-Nya.
Sebenarnya, pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh manusia berdasarkan atas kemampuan dirinya sendiri. Allah SWT tidak sekali-kali membebani hamba-Nya dengan ujian yang berat tidak mampu ditanggung oleh kemampuan diri. Malah, terdapat pelbagai cara dan bentuk untuk menyelesaikan masalah yang berlaku tersebut tetapi individu yang ditimpa ujian perlu meletakkan sikap positif dalam diri.
Ada sesetengah insan sentiasa bersikap negatif, bukan sahaja pada diri sendiri malah terhadap orang lain. Lebih buruk lagi apabila sikap negatif yang ada dalam diri disebarkan kepada orang lain turut terjebak dalam dosa.
Kita boleh sahaja turut berkongsi kegembiraan untuk mencapai kejayaan yang sama satu hari nanti. Namun, ada kalanya terdetik dalam hati sikap negatif mengatakan orang yang sedang bergembira itu sengaja menunjuk-nunjuk kegembiraannya agar dicemburui oleh orang lain.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sebenarnya sesiapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Yusuf, Ayat 90)
Oleh itu, kita perlulah sentiasa bersikap positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku kepada diri kita. Ini kerana bersikap positif merupakan perkara yang membawa kebaikan dan kelebihan terhadap diri kita.
Sumber: HARIAN METRO